Sedih menang cara ini, tapi rezeki adalah rezeki – Tunku Mahkota Ismail

Sedih menang cara ini, tapi rezeki adalah rezeki – Tunku Mahkota Ismail

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gembira dalam duka apabila pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) buat kali pertama menjulang piala dalam saingan Liga Super tanpa perlu bermandi peluh, malam ini.

Harimau Selatan mengangkat piala ke-27 selepas disahkan memenangi perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah itu.

Menerusi perkongsian di Instagram, pemilik JDT yang juga Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih kerana pasukannya memenanginya tanpa perlu turun beraksi menentang Selangor FC (SFC) yang mengambil keputusan tidak hadir pada saat akhir.

“Yang satu lagi, sedih menang cara ini tapi rezeki adalah rezeki. Allah sebaik-baik perancang,” tulis Tunku Mahkota Ismail, sebentar tadi.

Terdahulu, SFC nekad mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai perlawanan sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

SFC dalam satu kenyataan menegaskan keselamatan pasukan diutamakan selain memandang serius segala bentuk ancaman dan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan.

Keputusan itu diambil selepas pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permohonan SFC menangguhkan perlawanan itu.

Berikutan itu, Piala Sumbangsih akan terus kekal di bumi Johor apabila MFL memberikan kemenangan ‘walkover’ kepada JDT dengan jaringan 3-0.

Keputusan itu bermakna Harimau Selatan turut diberikan tiga mata bagi perlawanan pertama Liga Super, namun tiada sebarang keputusan lanjut dibuat termasuk hal berkaitan hukuman kepada SFC.

SFC membuat keputusan itu memandangkan pemain sayap mereka dan Harimau Malaya, Faisal Halim masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Shah Alam akibat disimbah asid, petang Ahad lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd