SHAH ALAM: Penyanyi, Ziana Zain, berkongsi kesedihan mendalam selepas kehilangan ayah tercinta, Zain Abdullah yang kembali ke rahmatullah, malam tadi.
Menurut Ziana, 57, ketiadaan arwah membuatkan dirinya terasa kehilangan doa seorang ayah yang selama ini menjadi sumber kekuatan dan penguat semangatnya.
“Saya sedih kerana selepas ini tiada lagi doa daripada seorang ayah. Tiada figura ayah yang mahu mendoakan saya di dunia ini. Sekarang hanya ada doa daripada mak sahaja.
“Sebagai anak, sudah pasti kita mahukan doa daripada kedua ibu bapa. Sekarang tiada lagi doa ayah, itu yang buat saya betul-betul sedih.
“Selama ini saya anggap ayah sebagai pengawal, dia sentiasa menjaga saya,”katanya.
Ziana berkata demikian ketika ditemui di kediaman arwah bapanya di sini, malam tadi.
Selain itu, Ziana berkata, meski diuji dengan kehilangan besar ini, dia tetap tabah kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga.
Tambah penyanyi lagu Putus Terpaksa itu lagi, dia turut menyifatkan pesanan terakhir arwah ayahnya sebagai bekalan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta.
“Namun, saya perlu kuat. Saya masih ada mak, adik-beradik, anak-anak dan keluarga. Kami sebuah keluarga yang sangat bersatu.
“Arwah ayah selalu pesan, kita satu keluarga perlu sentiasa ‘united’ walau apa jua keadaan sekali pun,”ujarnya.
Terdahulu, arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediamannya di Kayangan Heights, Shah Alam, pada Selasa.
Arwah juga merupakan tunjang belakang permulaan kerjaya seni untuk Ziana dan Anuar. -UTUSAN