“Seeloknya berdamailah & berlapang dada” – Dr Zul nasihat Caprice & Ebit Lew

Perselisihan faham antara pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew serta penyanyi rap Caprice kini sedang menjadi perbualan hangat di kalangan netizen Malaysia.

Berikutan itu, ramai yang tampil ‘mencelah’ dan memberi pendapat masing-masing biarpun isu sebenar masih belum dijelaskan oleh pemilik nama Ariz Ramli.

Memetik penulisan Al Hijrah Online, baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kedua-dua pihak tersebut seeloknya berdamai dan perlu berlapang dada.

“Saya tiada komen sebab saya belum meneliti apa-apa. Itu hal peribadi, kedua-duanya sahabat saya, pernah datang bertemu.
“Hal seperti ini seeloknya damaikanlah sebaik mungkin, berlapang dada,” katanya selepas Program Sumbangan Dana Perlu dan Dana Pelajar Yayasan Wakaf Malaysia (YKM) di Taman Mantau Indah di sini, hari ini,” jelasnya.

Terdahulu, Caprice mendedahkan dirinya disekat pendakwah bebas, Ebit Lew di laman Instagram selepas mempersoalkan tingkah laku Ebit ketika misi kemanusiaannya di Gaza baru-baru ini.

Sehingga kini, Caprice masih berteka-teki mengenai hal sebenar dan memberitahu akan mengadakan sesi ‘Live’ di Instagramnya pada 21 Julai nanti bagi mendedahkan perkara yang berlaku semasa misi kemanusian tersebut.

Sumber: Al Hijrah Online