am@hmetro.com.my
Segamat: “Kami sedang berdiri tiba-tiba rumah bergegar,” kata penduduk Ahmad Asri Talib, 52, selepas daerah ini sekali lagi dilanda gempa susulan malam ini.
Menurut Asri, gegaran susulan berlaku jam 7.55 malam ketika dia bersama ahli keluarga berada di rumahnya di Kampung Tengah, di sini.
“Waktu itu saya tengah berdiri tiba-tiba rumah bergegar. Saya tak tahu lagi ada gempa dan masing-masing mula bertanyakan gegaran itu.
“Gegaran berlaku sekitar dua saat dan selepas itu, kumpulan WhatsApps terdiri jiran dan saudara mara mula bertanyakan hal sama,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, gegaran susulan dirasai di beberapa kawasan antaranya Kampung Pogoh Tengah, Taman Yayasan, Jalan Seberang Batu Badak, Kampung Gudang Garam, Gemereh.
Gegaran turut dirasai penduduk di Kampung Paya Dalam, Kampung Tasek, Kampung Gubah, Taman Berjaya Buloh Kasap, Kampung Pogoh dan Paya Pulai.
Seorang lagi penduduk, Nori Azman, 34, berkata gegaran dirasai di beberapa kawasan termasuk Kampung Bukit Lintang.
“Kami tengah berehat tiba-tiba terasa gegaran. Sudah lebih dua bulan gegaran susulan tidak berlaku dan ini berlaku lagi.
“Walaupun gegaran susulan, tapi ia cukup menakutkan kami. Kami berdoa semoga dijauhkan dari bencana,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gegaran susulan itu.
Menurut kenyataan, gempa bumi lemah berlaku di Jementah, di sini pada jam 7.55 malam.
“Gempa berkekuatan 2.7 magnitud berlaku pada kedudukan 2.5 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.
“Ia berlaku pada jarak tiga kilometer dari Segamat.
“Gegaran dirasai di Segamat dan kawasan sekitarnya,” kata kenyataan itu.
Gempa pertama berlaku di Segamat dengan kekuatan 4.1 magnitud, diikuti 3.2 magnitud pada 27 Ogos; 2.5 magnitud (28 Ogos); 3.4 magnitud (29 Ogos).
Sementara, gempa kekuatan 2.7 magnitud berlaku pada 30 Ogos di Semerah dan 2.9 magnitud, Parit Yaani pada 31 Ogos di Batu Pahat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




