Segera tamatkan sekatan terhadap pengaturan dipersetujui Malaysia-Singapura, kata Muhyiddin

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Muhyiddin menyeru kerjasama menerusi cadangan pengiktirafan timbal balas terhadap sijil vaksin Covid-19 di peringkat teknikal dapat diteruskan dan dimuktamadkan pada masa depan.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berharap beberapa sekatan berupa penangguhan terhadap pengaturan dipersetujui Malaysia dan Singapura sebelum ini, dapat ditamatkan segera dengan mengambil kira kepentingan hubungan dua hala.

Beliau berkata ia merangkumi pengaturan timbal balas perjalanan Reciprocal Green Lane (RGL), pengaturan perjalanan berkala Periodic Commuting Arrangement (PCA), dan pengaturan perjalanan harian Daily Commuting Arrangement (DCA).

Perkara itu dikongsi Muhyiddin dalam catatan di laman Facebook miliknya selepas beliau menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bagi membincangkan pelbagai bidang hubungan dua hala seperti perdagangan, pelaburan dan kesihatan.

Menurut Muhyiddin, Balakrishnan dalam pertemuan itu turut menyerahkan surat jemputan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kepadanya untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura kali ke-10.

“Saya mengambil maklum cadangan pihak Singapura untuk menjadi tuan rumah sesi pemukiman itu dalam tahun ini selepas ditangguhkan pada tahun 2020 akibat wabak Covid-19,” kata Muhyiddin.

Mengenai cadangan pengiktirafan timbal balas terhadap sijil vaksin Covid-19, Muhyiddin menyeru agar kerjasama di peringkat teknikal melibatkan kedua-dua negara dapat diteruskan dan dimuktamadkan pada masa depan.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin turut membangkitkan mengenai keadaan semasa di Myanmar dan hala tuju ASEAN dalam menangani krisis berkenaan.

“Di akhir perjumpaan, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk bukan sahaja meneruskan hubungan baik yang sedia terjalin dengan Singapura, malah memperkukuhkan lagi tahap hubungan sedia ada,” katanya.

Balakrishnan diiringi Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Singapura Chee Wee Kiong, manakala turut hadir di pihak Malaysia ialah Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.