Sehari 300 ekor ayam percik

Sehari 300 ekor ayam percik

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Peniaga ayam percik memproses hampir 300 ekor ayam sehari sepanjang Ramadan susulan permintaan tinggi daripada pelanggan untuk juadah berbuka puasa.

Pengusaha Ayam Percik Kak Jah, Wan Marini Wan Mohd Nazi, 45, berkata, permintaan terhadap ayam percik di gerainya bertambah enam kali ganda berbanding hari biasa selain menerima pelanggan bukan saja dari serata tempat termasuk dari luar Kelantan.

Katanya, ayam percik resipi turun temurun itu dijual sejak lebih 30 tahun lalu dan bagaikan menjadi ‘tradisi’ untuk gerainya diserbu dengan ramai pelanggan hampir setiap hari pada bulan puasa yang mahu merasai keenakan juadah terbabit.

“Pada hari biasa saya hanya menjual sekitar 50 ekor ayam sehari, namun ketika Ramadan ia bertambah kepada 250 hingga 300 ekor, malah jumlah berkenaan mungkin lebih banyak di minggu-minggu akhir puasa ketika ramai perantau mula pulang untuk beraya.

“Saya masih mengekalkan resipi yang sama yang mana ayam dibakar segar selain menghasilkan kuah percik menggunakan 100 peratus santan tanpa campuran air agar ia lebih pekat dan sedap. Ramai pelanggan yang memberikan komen positif dan mengakui terus kekal menjadi pelanggan kerana rasa percik yang tidak berubah.

“Selain ayam, saya juga menyediakan lebih 30 kilogram ikan percik sehari seperti ikan kembung, bawal dan keli yang mana turut mendapat permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui di Kedai Ayam Percik Kak Jah di Jalan Pasir Mas- Salor , di sini.

Wan Marini berkata, ayam percik dijual pada harga RM10.50 seketul yang mana dipotong empat bahagian, manakala ikan pula pada harga serendah RM6 sehingga RM8 seekor bergantung kepada jenis ikan.

Katanya, tahun ini dia membuat sedikit kelainan apabila turut mempunyai ejen yang menjual ayam percik di tiga lokasi sekitar Kota Bharu bagi memudahkan pelanggan membeli juadah berkenaan kerana majoriti pelanggan adalah dari jajahan berkenaan.

“Memandangkan setiap hari kami perlu membakar ayam dan ikan dalam jumlah yang banyak, saya mengupah seramai 20 pekerja terdiri daripada saudara-mara dan penduduk tempatan, sekali gus boleh memberi mereka punca pendapatan sepanjang Ramadan.

“Selain itu, hampir setiap hari kami menerima tempahan awal daripada agensi swasta mahupun kerajaan yang memilih menu ayam percik sebagai juadah berbuka puasa. Alhamdulillah, semoga ayam percik resipi turun temurun ini terus menjadi pilihan ramai.

“Ada juga pelanggan tetap yang membuat tempahan awal untuk saya sediakan ayam serta kuah percik sejuk beku kerana mereka mahu membawa pulang bagi perjalanan jauh seperti ke Johor Bharu atau Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, dia yang dibantu suami, Saifulizam Yasok, 45, turut terbuka menerima maklum balas daripada pelanggan jika ada yang terkurang dalam juadah jualannya supaya ia dapat diperbaiki pada masa akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top