Kuala Lumpur: Menjelang sambutan Aidilfitri, naskhah menyentuh hati sering menjadi cerminan nilai kemanusiaan yang dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia.
Tradisi ini diteruskan PETRONAS menerusi pelancaran filem khas Aidilfitri 2026 berjudul Seindah Ramadan.
Karya itu mengajak penonton merenung makna sebenar kebaikan serta keprihatinan dalam kehidupan seharian.
Filem pendek ini mengisahkan dua kanak-kanak iaitu Alia dan Hana, yang teruja menyambut ketibaan Ramadan selepas mendengar pengumuman rasmi di televisyen.
Kalendar mereka dipenuhi dengan pelbagai aktiviti sepanjang bulan penuh keberkatan itu termasuk menyediakan kuih raya, membeli kasut baharu, menyiapkan baju raya serta menghadiri majlis berbuka puasa.
Setiap hari yang dilalui sepanjang Ramadan digambarkan penuh keceriaan ketika mereka menikmati detik kebersamaan dengan orang tersayang.
Namun apabila Syawal menjelma, suasana yang pada awalnya meriah mula berubah dan membawa penonton menyelami makna sebenar keprihatinan serta nilai kebaikan.
Melalui penceritaan yang menyentuh emosi, Seindah Ramadan menyuntik peringatan penting bahawa amalan baik tidak seharusnya terhad kepada bulan puasa semata-mata.
Sebaliknya, nilai keprihatinan dan kebaikan wajar diteruskan pada setiap masa kerana ia menjadi asas yang menggerakkan masyarakat untuk terus melangkah maju bersama.
Seperti karya-karya musim perayaan PETRONAS sebelum ini, Seindah Ramadan turut membawa mesej kemanusiaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat serta menggalakkan budaya saling membantu dalam komuniti.
Tonton filem penuh di bawah:
© New Straits Times Press (M) Bhd




