am@hmetro.com.my
Putrajaya: Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila mengumpul hampir RM120 juta hasil sumbangan pelbagai sektor swasta sebagai komitmen bersama menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Berucap pada majlis peluncuran inisiatif itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sambutan diterima amat luar biasa, jauh melepasi sasaran awal RM50 juta, sekali gus membuktikan keyakinan tinggi sektor swasta terhadap usaha kerajaan membantu kumpulan rentan melalui program berfokus.
“Melalui insiatif ini, saya kata kalau mendapat RM50 juta sudah kira baik, kerajaan boleh tambah sedikit tetapi sekarang sambutan itu bukan hanya dua kali (ganda), lebih daripada itu.
“Jadi saya agak sentimental sikit dan minta maaf. Saya pun manusia biasa kadang-kadang ada juga perasaan walaupun tidak semua orang senang dalam hal ini tetapi saya percaya dan sudah hampir RM120 juta (sumbangan berjaya dikumpul),” katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Program Sejahtera MADANI yang diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), menyatukan pelbagai bentuk intervensi merentas kementerian, agensi dan sektor korporat.
Ia memberi tumpuan dalam empat fokus utama: pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, sokongan besar sektor swasta membuktikan semangat kerjasama nasional yang kukuh, dengan banyak syarikat tampil bukan sekadar menyumbang dana, malah turut mengambil tanggungjawab sosial.
“Ini projek yang baik. Kita nak pacu negara ini sebagai negara yang gagah dan hebat dan negara hebat ini tentunya bermula dari pimpinan yang menjaga tanggungjawab, yang elak daripada ketirisan, salah guna kuasa, rasuah.
“Tapi ia tidak akan berhasil tanpa kekuatan swasta yang menerobos ke pasaran antarabangsa ke Mesir ke Itali ke Perancis ke Peru, Brazil. Ini kekuatan sektor swasta manakala tanggungjawab kami adalah memberi galakan, dorongan dan sokongan sedaya upaya,” katanya.
Perdana Menteri turut mengulangi pendirian Kerajaan MADANI pimpinannya bertekad untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini menerusi pelbagai usaha bersama serta pendekatan yang lebih strategik.
“Sasaran saya bersama dengan rakan Jemaah Menteri ialah kalau boleh kita mula menoktahkan kemiskinan tegar iaitu ‘hardcore poor’.
“Berdasarkan angka-angka tahun 2023 hingga 2024, kita dapat atasi walaupun jumlah itu akan muncul kemudian tetapi jumlahnya jauh rendah daripada dahulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd