Los Angeles: Pentas Anugerah Akademi ke-98 (Oscar) gempar apabila kategori Filem Pendek Aksi Langsung Terbaik mencatatkan keputusan seri, sekali gus mengulangi sejarah yang jarang berlaku dalam tempoh lebih sedekad.
Dua filem, The Singers dan Two People Exchanging Saliva, diumumkan sebagai pemenang bersama selepas meraih jumlah undian yang sama daripada juri.
Penyampai anugerah, Kumail Nanjiani, pada mulanya kelihatan tergamam sebelum menenangkan penonton yang mula kecoh dengan pengumuman luar biasa itu.
“Dan pemenang Oscar ialah. Seri! Saya tidak bergurau. Ia benar-benar seri. Semua bertenang, kita akan selesaikan perkara ini. Fokus,” katanya.
Pencipta filem The Singers, Sam A Davis, yang naik ke pentas terlebih dahulu mengakui terkejut dengan situasi itu, namun tetap meluahkan rasa syukur.
“Seri? Wah. Saya tidak tahu perkara seperti itu boleh berlaku. Seri. Tetapi kami gembira dapat berada di atas pentas ini,” katanya.
Mengikut peraturan Academy of Motion Picture Arts and Sciences, keputusan seri hanya akan diisytiharkan jika jumlah undian menyaksikan lebih 10,000 ahli pengundi adalah benar-benar tepat dan sama antara calon bertanding.
Sepanjang penganjuran Oscar, fenomena ‘dua pemenang’ ini hanya pernah berlaku sebanyak enam kali. Kali terakhir dunia menyaksikan keputusan sebegini adalah pada tahun 2013 membabitkan filem Zero Dark Thirty dan Skyfall bagi kategori Penyuntingan Bunyi Terbaik.
Bagaimanapun, sejarah paling ikonik tetap milik tahun 1969 apabila legenda Hollywood, Katharine Hepburn (The Lion in Winter) dan Barbra Streisand (Funny Girl) berkongsi trofi Pelakon Wanita Terbaik.
Kemenangan Streisand ketika itu mencetuskan kontroversi hangat kerana dia dikatakan sudah dilantik menjadi ahli badan pengundi sebelum anugerah berlangsung, sekali gus menimbulkan dakwaan dia mungkin mengundi dirinya sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




