Sejuk kubur orang yang suka sedekah

Soalan:

Benarkah dalam satu ceramah ustaz menyebut orang yang suka bersedekah nanti sejuk di dalam kubur? Saya hendak tanya sedekah yang paling afdhal itu apa? Sedekah kepada siapa paling banyak pahala?

Jawapan:

Sejuk kubur orang yang suka sedekah

Bermula sedekah adalah antara amalan yang sangat dikasih oleh Allah Taala dan dijanjikan dengan pelbagai kelebihan dan ganjaran sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Di antara janji Allah bagi orang yang suka bersedekah dan membelanjakan hartanya itu ialah melindunginya dari kepanasan kubur dan sedekah itu akan meneduhkannya di hari akhirat.

Advertisement

Telah diriwayatkan daripada Uqbah bin ‘Amir r.a. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الصَّدَقَةَ لَتُطْفِئُ عَنْ أَهْلِهَا حَرَّ الْقُبُورِ، وَإِنَّمَا يَسْتَظِلُّ الْمُؤْمِنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي ظِلِّ صَدَقَتِهِ

Ertinya: “Sungguhnya sedekah itu akan memadamkan dari ahlinya akan kepanasan kubur. Dan bahawasanya akan berteduh seorang mukmin itu pada hari kiamat di bawah teduhan sedekahnya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi dan At-Tabarani)

Berkata Imam As-Son’ani:

إن الصدقة لتطفئ عن أهلها حر القبور من عذابها أو حرها نفسها لما فيها من الضيق والانسداد

Ertinya: “Bahawasanya sedekah itu memadamkan dari ahlinya kepanasan kubur iaitu dari azab kubur atau dari panasnya kubur itu sendiri kerana di dalam kubur itu sangat sempit dan sesak.” (Kitab At-Tanwir)

Sedekah paling afdhal

Bermula sedekah yang paling afdhal ialah sedekahkan barang yang kita paling kasih.

Firman Allah Taala:

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Ertinya: “Tidak akan mencapai kebajikan sehingga kamu sekelian membelanjakan dari harta yang kamu sekelian kasih. Maka apa jua yang kamu sekelian belanjakan maka sungguhnya Allah sangat mengetahui dengannya.” (Ali-Imran: 92)

Bermula maksud tidak mencapai kebajikan pada ayat ini ialah tidak mendapat ganjaran yang paling sempurna atau tidak mendapat akan sebenar-benar kebajikan sebagaimana menyebut oleh mufassirun di dalam kitab-kitab tafsir.

Bermula maksud harta yang kita kasih itu ialah harta yang baik atau yang elok atau yang mahal atau yang disukai.

Ini adalah kerana terkadang seorang itu bersedekah dengan harta yang dia sudah tidak menyukainya atau yang tidak baik atau yang tidak elok atau yang murah atau yang tidak disukai orang tetapi bukanlah maksudnya bersedekah dengan harta yang kita tidak suka atau yang murah itu tidak berpahala.

Maka bersedekah dengan harta yang kita kasih itu besar ganjarannya dan bersedekah dengan harta yang kita tidak kasih itu sedikit ganjarannya.

Orang paling afdhal menerima sedekah

Sedekah paling afdhal diberikan kepada orang-orang susah yang bersaudara dengan kita dan saudara yang lebih dekat itu lebih afdhal.

Berkata Imam Nawawi:

أجمعت الأمة على أن الصدقة على الأقارب أفضل من الأجانب، والأحاديث في المسألة كثيرة مشهورة

Ertinya: “Telah ijmak sekalian umat atas bahawa sedekah atas keluarga yang dekat afdhal dari orang-orang yang bukan saudara. Dan hadis-hadis pada masalah ini banyak dan masyhur.” (Kitab Al-Majmu’)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Ertinya: “Satu dinar yang kamu belanjakan pada jalan Allah dan satu dinar yang kamu belanjakan memerdekakan hamba dan satu dinar yang kamu sedekahkan dengannya atas orang-orang miskin dan satu dinar yang kamu belanjakan atas keluargamu yang paling besar ganjarannya ialah yang kamu belanjakan atas keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Dan bukanlah maksud afdhal sedekah kepada sanak saudara itu ialah meninggalkan sedekah atas orang luar tetapi maksudnya sedekahlah dan belanjalah hartamu kepada siapa sahaja yang kamu temui sebanyak mungkin dan semampu mungkin kerana lebih banyak sedekah yang kamu lakukan dan lebih banyak harta yang kamu belanjakan bererti lebih banyak ganjaran yang akan kamu perolehi.

Wallahua’lam – HARAKAHDAILY 25/3/2021