Sejuk melampau, tahan lapar penjara atas air Israel buka mata derita Palestin

Sejuk melampau, tahan lapar penjara atas air Israel buka mata derita Palestin

SEPANG: Kesejukan melampau selain perlu menahan kelaparan ketika ditahan selama dua malam di ‘penjara atas air’ disifatkan menjadi antara pengalaman paling menginsafkan buat delegasi Global Sumut Flotila (GSF) 2.0 yang diculik Israel di perairan antarabangsa.

Menurut Osman Zolkifli, pengalaman itu telah membuka mata delegasi mengenai penderitaan sebenar yang terpaksa dihadapi rakyat Palestin akibat ditindas sejak puluhan tahun lalu.

“Kami berada hampir dua malam di atas kapal yang diibaratkan seperti penjara terapung. Apa yang kami rasakan adalah kesejukan dan tiada makanan, pengalaman itu amat menginsafkan.

“Apa kami lalui terlalu kecil jika dibandingkan dengan penderitaan rakyat Palestin yang diseksa bertahun-tahun lamanya termasuk ribuan tahanan yang masih belum dibebaskan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini tadi.

Terdahulu, Osman yang merupakan sebahagian daripada 28 aktivis GSF 2.0 tiba di KLIA menerusi penerbangan Emirates Airlines selepas berada di Turkiye selama beberapa hari apabila dibebaskan dari Ashdod, Israel.

Mengulas lanjut, Osman berkata, kapal dinaikinya telah dipintas Israel sebanyak dua kali iaitu pada 29 April dan 19 Mei sebelum ditahan di penjara atas air dalam keadaan serba kekurangan.

Katanya, kumpulan delegasi tidak menganggap mereka sebagai hero, sebaliknya hanya menjadi pengantara bagi menyampaikan kepada dunia mengenai penderitaan rakyat Palestin serta kekejaman Israel.

“Saya juga berharap orang ramai terus menyebarkan kandungan mengenai Palestin di media sosial masing-masing selain meneruskan usaha memboikot syarikat yang dikaitkan dengan Israel,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top