GENEVA: Kira-kira 3.2 juta kanak-kanak Afghanistan berdepan dengan masalah kekurangan nutrisi yang serius menjelang hujung tahun ini.
Namun, sejuta kanak-kanak daripada jumlah itu dilaporkan berada ‘di ambang kematian’ ketika suhu terus menurun pada musim sejuk ini.
Keadaan di negara itu bertambah buruk susulan kejatuhan ekonomi dan sosial akibat konflik dalaman yang masih berterusan hingga kini.
Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Harris berkata, konflik yang berlaku menyebabkan krisis kebuluran semakin meruncing di Afghanistan.
“Dunia tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan dan mereka (penduduk Afghanistan) perlu dibantu segera,” katanya.
Jelas Harris, suhu di bawah paras beku pada waktu malam menyebabkan golongan warga emas dan kanak-kanak lebih mudah mendapat penyakit dan keadaan itu diburukkan dengan masalah kekurangan nutrisi makanan.
Harris bagaimana pun memberitahu, beliau tidak mempunyai jumlah kanak-kanak yang maut akibat kekurangan nutrisi dan memaklumkan, kebanyakan hospital kini dipenuhi pesakit golongan tersebut.
“Selaian itu, demam campak merupakan antara pembunuh nombor satu kanak-kanak di seluruh dunia dan kekurangan nutrisi akan menyebabkan mereka yang dijangkiti virus itu berisiko tinggi untuk maut,” ujarnya. – REUTERS



