Sekampung bergelap, dron angkut babi tersangkut pada kabel elektrik

Sekampung bergelap, dron angkut babi tersangkut pada kabel elektrik

Chengdu: Sebuah perkampungan di barat daya China bergelap selama 10 jam gara-gara dron mengangkut babi milik seorang penternak tersangkut pada kabel elektrik.

Keadaan turut menyebabkan ternakan malang itu tergantung di udara selama berjam, sebelum dapat diturunkan oleh pasukan berkuasa.

Memetik laporan South China Morning Post, kejadian berlaku pada awal pagi 24 Januari lalu, selepas tali digunakan pada dron terbabit terbelit dengan kabel elektrik.

Penternak dari daerah Tongjiang, wilayah Sichuan itu menggunakan dron untuk memindahkan babi miliknya dari kawasan pergunungan, tempat dia tinggal, ke pusat penyembelihan.

Dia mendakwa lokasi kampungnya yang berbukit menyukarkan penggunaan kenderaan darat bagi mengangkut ternakan terbabit.

Bagaimanapun, ketika babi pertama sedang diangkut, haiwan itu tersangkut di udara selepas tali dron terbelit pada kabel voltan tinggi sebaik menuruni gunung.

Penternak itu mengaku ia kecuaiannya disebabkan keadaan ketika itu masih gelap yang menjadikan tahap penglihatannya terhad.

Kakitangan wanita daripada pihak berkuasa elektrik tempatan berkata, penduduk kampung terpaksa bergelap untuk tempoh yang lama akibat insiden itu.

Seramai 12 pekerja dihantar bagi membaiki kabel elektrik yang rosak dengan kos pembaikan dianggarkan mencecah 10,000 Yuan (kira-kira RM5,685).

Kakitangan berkenaan mengesahkan bekalan elektrik ke kampung itu hanya berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 5 petang hari sama.

Polis menyiasat insiden itu yang mendedahkan penternak terbabit melanggar undang-undang kerana menggunakan dron di zon larangan terbang, selain peranti dipercayai membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

Katanya, lelaki itu berdepan hukuman pentadbiran dan perlu membayar ganti rugi atas kerosakan perkakasan elektrik sekiranya didapati bersalah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top