Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menafikan dakwaan bahawa tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun merupakan langkah ‘tebuk atap’.
Tebuk atap pembangkang nak jadi kerajaan…
Memetik laporan daripada Harian Metro, ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyatakan, tindakan itu dibuat bagi mempertahankan prinsip parti serta mengelakkan campur tangan politik dalam isu membabitkan institusi raja, adat dan Perlembagaan.
“Isunya ialah kegagalan menteri besar untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan institusi, adat dan Perlembagaan sehingga membawa kepada kemelut krisis diraja sekarang dan soal dewan ditangguh atau tidak itu soal lain.
“Tebuk atap maknanya ialah daripada menjadi pembangkang nak jadi kerajaan, sekarang kita kerajaan, tak ada sebab kita nak tebuk atap.
“(Tetapi) ini demi mempertahankan prinsip perjuangan parti,” katanya.
Foto: DSJA
Langkah terbabit bukan strategi
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut menegaskan langkah tersebut bukan strategi untuk menumbangkan kerajaan negeri, sebaliknya berpaksikan kepada isu yang lebih besar.
Katanya, BN sebenarnya mampu mengambil tindakan lebih awal sekiranya mempunyai niat politik, namun perkara itu tidak dilakukan kerana menghormati prinsip yang dipersetujui dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tak boleh sentuh soal yang berkaitan dengan raja. Tak boleh sentuh soal yang berkaitan dengan agama, soal yang berkaitan dengan hak orang Melayu. Ini semua perjanjian kita,” katanya.
Foto: DSJA
Jalaluddin turut berpandangan penyelesaian terbaik ketika ini adalah mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Tetapi pada asasnya apabila (kemelut) ini berlaku, saya fikir eloklah kita serahkan balik kepada rakyat untuk buat mandat baru yang mana DUN harus dibubarkan,” katanya.
Foto: DSJA
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menyatakan bahawa UMNO tidak akan ‘menebuk atap’ susulan melihat situasi politik di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan lebih rela hilang jawatan daripada kehilangan prinsip perjuangan parti.
Sumber: Harian Metro (Ahmad Hasbi)




