Sekat ketirisan, tambah kebajikan

Sekat ketirisan, tambah kebajikan

Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat dilihat menyeluruh dengan perbelanjaan awam melonjak kepada RM470 bilion.

Antara yang mencuri perhatian adalah pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mulai tahun hadapan.

Penolong Pengarang Berita YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris PROF MADYA DR ZAINIZAM ZAKARIYA untuk mengulas mengenai belanjawan berkenaan.

Secara keseluruhan, bagaimana Dr melihat Belanjawan 2026 kali ini?

Belanjawan 2026 adalah belanjawan progresif yang menyokong pertumbuhan inklusif dan agenda reformasi tatakelola MADANI. Walaupun saiz perbelanjaan yang sangat besar iaitu RM470 bilion berbanding sasaran jumlah hasil dengan RM343.1 bilion namun belanjawan berskala besar ini dilihat cuba menyeimbangkan antara pembaharuan fiskal dan kebajikan rakyat. Ini memandangkan kerajaan menebusnya dengan rancangan menurunkan defisit melalui pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal di mana defisit dihadkan pada 3.5 peratus KDNK bagi 2026 dengan komitmen penurunan hutang. Ini menunjukkan disiplin fiskal yang lebih ketat. Ia dilihat dapat memacu pelaburan swasta dan GLIC, serta memfokuskan kepada produktiviti dan inovasi serta pelaburan strategik dalam semikonduktor, AI, tenaga boleh diperbaharui dan logistik. Usaha penyasaran subsidi terutama pengapungan harga diesel dan petrol RON95 untuk golongan berpendapatan tinggi membenarkan ruang fiskal untuk memperluaskan bantuan tunai kepada sembilan juta isi rumah. Belanjawan ini juga merapatkan jurang wilayah dengan peruntukan besar untuk Sabah dan Sarawak serta infrastruktur desa, pengangkutan rel (ETS, LRT3, ECRL) dan perumahan mampu milik.

Keseluruhannya, belanjawan ini seimbang antara pertumbuhan inklusif, reformasi fiskal, pelaburan masa depan dan kebajikan rakyat, walaupun masih menanggung defisit besar yang memerlukan pematuhan disiplin fiskal untuk jangka panjang.

Kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat. Boleh komen?

Perdana Menteri memberi komitmen keperluan perbelanjaan tambahan tidak diatasi dengan cukai baharu sebaliknya melalui pembaikan tatakelola termasuk memerangi rasuah, mengekang penyeludupan dan melumpuhkan kartel serta yang terkini penyasaran subsidi petrol RON95. Hasilnya, badan penguatkuasa seperti SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC memulihkan hampir RM 15.5 bilion melalui rampasan dan penalti dalam tempoh dua tahun.

Dengan mengekang ketirisan dan mempercepatkan bayaran balik cukai, kerajaan menambah sumber pendapatan tanpa membebankan rakyat. Program subsidi pula disasarkan kepada kelompok sasaran, contohnya, subsidi diesel dan RON95 dikekalkan bagi sektor tertentu atau penerima berpendapatan rendah, manakala harga apung dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi. Penjimatan subsidi sekitar RM15.5 bilion setahun dialihkan kepada bantuan tunai STR/SAR , peruntukan pendidikan dan kesihatan. Oleh itu, kombinasi langkah anti-rasuah, digitalisasi sistem pungutan hasil dan penyasaran subsidi membenarkan kerajaan menampung perbelanjaan sosial dan pembangunan tanpa menambah beban rakyat melalui cukai tambahan.

Apakah pengumuman yang paling memberi manfaat kepada rakyat?

Pada pandangan saya, pengumuman yang dilihat paling memberi manfaat kepada rakyat ialah penyasaran subsidi dan peluasan bantuan tunai STR serta SARA. Inisiatif ini memberi kesan langsung kepada hampir sembilan juta rakyat berpendapatan rendah dan sederhana melalui bantuan tunai serta barangan asas sehingga RM4,600 setahun, sekali gus membantu menampung kos sara hidup. Malah, penyusunan semula subsidi bahan api melalui sistem BUDI95 bukan sahaja dapat memastikan bantuan lebih adil malah menjimatkan RM15.5 bilion setahun. Nilai penjimatan ini pula disalurkan semula kepada sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan. Pendekatan ini menambah baik tatakelola fiskal tanpa menaikkan cukai baharu, menjadikannya dasar paling luas manfaat dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Perluasan bantuan sara hidup seperti STR, SARA dan one-off RM100 kepada 22 juta pemanfaat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi melalui saluran perbelanjaan penggunaan.

Dalam konteks ekonomi makro, bantuan tunai ini mampu merangsang perbelanjaan isi rumah dan meningkatkan permintaan agregat dalam ekonomi. Peningkatan perbelanjaan pengguna ini memberi kesan gandaan dalam ekonomi apabila permintaan terhadap barang dan perkhidmatan meningkat, perniagaan mendapat hasil lebih tinggi, mendorong mereka meningkatkan pengeluaran, menambah pekerja, dan seterusnya meningkatkan pendapatan keseluruhan dalam ekonomi.

Ini mewujudkan rantaian kesan positif kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), yang sebahagian besarnya datang daripada komponen perbelanjaan penggunaan swasta.

Dengan kata lain, bantuan sara hidup berfungsi sebagai alat rangsangan domestik memperkukuh permintaan dalaman, menampung kelembapan eksport, serta memastikan pertumbuhan KDNK kekal kukuh dan inklusif.

Ikhtiar MADANI antara yang paling banyak disentuh dalam belanjawan ini? Bagaimana itu boleh memberikan kelegaan ketika kos sara hidup masih menjadi persoalan?

Pendekatan Ikhtiar MADANI dalam Belanjawan 2026 dirangka sebagai strategi menyeluruh kerajaan untuk menangani tekanan kos sara hidup tanpa mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan disiplin fiskal. Konsep ini berasaskan prinsip kesejahteraan rakyat, kelestarian ekonomi, dan keadilan sosial, yang diterjemahkan melalui pelbagai langkah bersepadu bukan sekadar pemberian bantuan tunai, tetapi juga pembaikan struktur ekonomi. Antara bentuk kelegaan yang dapat dirasai rakyat ialah melalui penyasaran subsidi dan bantuan langsung yang menyalurkan sumber kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, sekali gus mengurangkan ketirisan serta memastikan subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

Pada masa sama, program STR dan SARA ditingkatkan dengan jumlah peruntukan terbesar dalam sejarah, memberi sokongan tunai dan barangan keperluan kepada hampir sembilan juta penerima.

Keseluruhannya, Ikhtiar MADANI bukan sekadar janji bantuan sementara, tetapi satu pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kelegaan segera melalui bantuan tunai dan subsidi, bersama pembaharuan struktur ekonomi untuk menjamin kestabilan harga dan peningkatan pendapatan rakyat dalam jangka sederhana dan panjang. Inilah yang menjadikan Belanjawan 2026 lebih memberi kelegaan nyata kepada rakyat berbanding belanjawan tahun-tahun sebelumnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top