Sekatan Israel terhadap bekalan kemanusiaan dorong krisis kelaparan akut di Gaza

Sekatan Israel terhadap bekalan kemanusiaan dorong krisis kelaparan akut di Gaza

New York: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini pada Ahad memberi amaran bahawa tindakan Israel menyekat bekalan kemanusiaan telah meletakkan Gaza di ambang krisis kelaparan akut.

Lazzarini dalam satu hantaran media sosial berkata kepungan yang menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan, air dan bahan api ke wilayah Palestin yang diduduki, kini berlangsung lebih lama berbanding sekatan yang dikenakan pada fasa awal perang, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

“Setiap hari yang berlalu tanpa kemasukan bantuan bermakna lebih ramai kanak-kanak tidur dalam kelaparan, penyakit merebak dan penderitaan semakin mendalam,” katanya.

Selepas tempoh gencatan senjata yang singkat, serangan bom dan operasi darat terhadap Gaza telah disambung semula. Sejak itu, ratusan orang awam termasuk kanak-kanak menjadi korban.

Pemangku Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza, Sam Rose turut memberi amaran pada Jumaat bahawa jika gencatan senjata tidak dipulihkan, ia akan menyebabkan “kehilangan nyawa secara besar-besaran, kemusnahan infrastruktur dan harta benda, peningkatan risiko penyakit berjangkit serta trauma dahsyat kepada sejuta kanak-kanak dan dua juta penduduk Gaza.”

Menyifatkan sekatan bantuan sebagai “hukuman kolektif” terhadap penduduk Gaza, Lazzarini menggesa sekatan itu dihentikan serta bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial dibawa masuk secara berterusan dan dalam skala yang mencukupi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top