Sekatan longgar punca peningkatan kes Covid-19 sporadik

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PETALING JAYA: Pelonggaran sekatan pergerakan telah mengakibatkan peningkatan kes Covid-19 sporadik sepanjang dua minggu lalu, menurut seorang aktivis kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib percaya pergerakan yang semakin bebas menjadi antara punca kemunculan kes-kes baharu, “dengan penularan melalui kontak sosial meningkat”.

Kata beliau, kes-kes yang tiada kaitan dengan kluster sedia ada memang dijangka kerana Covid-19 sudah berada dalam komuniti buat sekian lama.

Beliau menyeru agar lebih banyak saringan dijalankan, sambil berkata, orang ramai perlu lebih mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, dan mencuci tangan.

Azrul Mohd Khalib

“Kita tidak boleh tinggal dalam ‘bunker’ selamanya. Kita harus belajar hidup dengan kehadiran penyakit ini dalam komuniti,” kata beliau kepada FMT.

“Kita harus belajar dan mempraktikkan cara terbaik untuk melindungi diri kita daripada jangkitan, penyakit serius dan jatuh sakit akibat dijangkiti virus.”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy berkata, jumlah kes sporadik menjadi kebimbangan kerana ia menunjukkan bahawa virus tersebut telah tersebar jauh dalam komuniti.

Beliau memuji kerajaan atas pemantauan ketat terhadap kadar jangkitan dan kerana tidak tergesa-gesa membuka semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Dr Subramaniam Muniandy

Namun begitu, kata beliau, pelaksanaan program vaksinasi perlu dipercepat dan bilangan individu yang diuji perlu ditingkatkan.

“Kita mungkin juga perlu mempertimbangkan untuk membataskan pergerakan golongan berisiko tinggi tertentu sehingga mereka menerima vaksin,” kata beliau kepada FMT.

Covid-19 masih dikesan dalam komuniti pekerja asing hampir setiap hari melalui ujian yang dilakukan di tapak pembinaan dan kilang, kata Subramaniam.

“Penting agar kerajaan memberi keutamaan vaksinasi kepada golongan ini dalam program imunisasi kebangsaan,” kata beliau.

Bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, perlu ada lebih “pengesanan kontak yang efektif” menggunakan alat dan teknologi digital berbanding secara manual.

Dzulkefly Ahmad

“Aplikasi ini harus mempunyai ciri-ciri automatik supaya pengesanan kontak tidak memerlukan tenaga kerja yang tinggi dan membolehkan individu yang terdedah (kepada virus) dikenal pasti dengan lebih cepat. Ini supaya mitigasi boleh dimulakan hampir serta merta.

“Negara-negara seperti New Zealand telah menjalankan latihan epidemiologi lapangan untuk mengesan hubungan, dengan meninjau rakaman CCTV, mengikuti dan menjejak kembali (perjalanan), dan sebagainya.

“Mereka menjalankan (ujian) genotip bagi setiap kes untuk mengenal pasti kaitan epidemiologi, sedangkan kita masih jauh daripada kemampuan sebegitu,” kata beliau kepada FMT.

Dzulkefly berkata, kerajaan perlu memastikan bahawa semua pihak berkepentingan memahami naratif dan rasional di sebalik prosedur operasi standard (SOP) dan setiap pematuhan etika atau langkah-langkah untuk meningkatkan kepatuhan.

“Penting untuk memastikan masyarakat memahami keperluan mendaftar masuk dan menjejak semula langkah mereka,” kata beliau.

“Sebaik sahaja kita mengesan kes, kita mesti lebih agresif dalam menguji kontak rapat dan meluaskan ‘jaring’ untuk memastikan kita mengesan kes-kes positif tidak diketahui yang berpotensi menjadi penyebar (virus).”

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba baru-baru ini berkata, 13.185 kes sporadik dikesan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, iaitu 66% daripada jumlah kes dalam tempoh tersebut.