Sekatan pergerakan New Delhi dilonggarkan secara berperingkat

Sekatan pergerakan New Delhi dilonggarkan secara berperingkat

NEW DELHI: Pihak berkuasa India mengumumkan keputusan mungkin melonggarkan perintah berkurung di New Delhi susulan penurunan kes COVID-19.

Kawasan pedalaman India kini mencatatkan peningkatan mendadak kes COVID-19 sehingga membebankan sistem perkhidmatan kesihatan selain merekodkan angka kematian sekurang-kurangnya 160,000 orang sejak awal Mac lalu.

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal, berkata kerja pembinaan dan kilang boleh mula kembali beroperasi mulai Isnin ini, dengan mempertimbangkan nasib golongan termiskin dalam masyarakat, buruh dan pekerja gaji harian.

“Kita akan mulakan proses membuka sekatan secara sangat, sangat perlahan. Penilaian akan dibuat selepas seminggu bersandarkan pandangan pakar dan rakyat,” katanya.

Berdasarkan statistik rasmi, jangkitan harian di seluruh India menyusut lebih 50 peratus, berbanding lebih 400,000 kes pada awal bulan ini.

Angka kematian harian turut merosot sedikit, membabitkan 3,660 kes pada Jumaat lalu, manakala kes jangkitan baharu menurun kepada 1,100 kes berbanding 25,000 kes, ketika perintah berkurung dikuatkuasakan enam minggu lalu.

Meskipun sekatan mula dilonggarkan berkuat kuasa Isnin ini, Kejriwal menggesa penduduk New Delhi untuk tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan.

“Ini masa yang sangat genting dan kita perlu menggalas tanggungjawab penuh supaya mampu menyelamatkan New Delhi dan negara,” katanya.

Lonjakan kes COVID-19 sebelum ini dikatakan berpunca daripada varian baharu dan berikutan keputusan kerajaan membenarkan kebanyakan kegiatan kembali beroperasi seperti sedia kala, termasuk perhimpunan keagamaan serta politik.

Pertimbangan untuk melonggarkan sekatan pergerakan ketika ini turut meliputi banyak kawasan lain di India, termasuk Maharashtra, Tamil Nadu dan Karnataka.

Sementara itu, pelaksanaan program vaksinasi India semakin perlahan berikutan kekurangan bekalan, kekeliruan dan pertikaian antara Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa negeri.

Setakat ini, kira-kira 160 juta rakyat, bersamaan 12.5 peratus daripada keseluruhan penduduk India, sudah menerima suntikan dos pertama vaksin, manakala 45 juta atau 3.4 peratus menerima dua dos lengkap.

Menteri Penyiaran dan Maklumat India, Prakash Javadekar, hari ini berkata proses vaksinasi dijangka selesai dilaksanakan menjelang penghujung tahun ini. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top