
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken pada Sabtu memberi amaran sekatan balas balik China ke atas dua warganegaranya dalam pertikaian semakin memuncak susulan layanan Beijing terhadap Uighur adalah “tidak berasas” dan hanya akan mengalihkan fokus ke atas “penghapusan bangsa” di Xinjiang.
“Cubaan Beijing untuk menakut-nakutkan atau mendiamkan mereka yang memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan asasi hanya menyumbang kepada pengawasan antarabangsa yang semakin meningkat ke atas penghapusan bangsa dan jenayah terhadap kemanusiaan di Xinjiang,” kata Blinken dalam kenyataan.
Blinken menyifatkan sekatan ke atas dia ahli Suruhanjaya Kebebasan Agama Antarabangsa AS sebagai “tidak berasas”.
Sekurang-kurangnya sejuta etnik Uighur dan orang daripada kumpulan majoriti Islam ditahan di beberapa kem di wilayah Xinjiang, menurut kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa pihak berkuasa memaksa wanita dimandulkan dan menjadi buruh paksa.
Kesatuan Eropah (EU), Britain, Kanada dan AS melaksanakan sekatan ke atas beberapa ahli politik dan ekonomi Xinjiang menerusi tindakan diselaraskan terhadap dakwaan itu, menyebabkan tindak balas Beijing dalam bentuk sekatan ke atas individu dari EU serta Britain.
“Kami bersolidariti dengan Kanada, UK, EU, rakan dan sekutu lain di seluruh dunia yang menggesa China menamatkan pelanggaran hak asasi manusia serta penindasan ke atas orang Uighur Islam dan kumpulan minoriti etnik serta agama lain di Xinjiang serta membebaskan mereka yang ditahan sembarangan,” kata Blinken.




