Sekolah agama kelolaan JAIS beroperasi esok

Sekolah agama kelolaan JAIS beroperasi esok

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Semua Sekolah Agama Negeri (SAN) kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) beroperasi seperti biasa, esok.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sekolah Islam Persendirian (SIP) juga hendaklah mengikut ketetapan berkenaan.

“Namun, ibu bapa serta penjaga diberikan pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang akan tahap kesihatan mereka, dan perlu memaklumkan ketidakhadiran anak kepada pihak sekolah.

“Pihak sekolah diminta untuk menangguhkan aktiviti di luar kelas, dan guru serta pelajar yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelajar yang mengalami akut lelah serius hendaklah diawasi rapi oleh pihak sekolah.

Jelasnya, warga sekolah dan ibu bapa serta penjaga juga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan kualiti udara dan arahan operasi sekolah yang berkaitan, serta tidak membuat sebarang andaian berkaitan pengoperasian sekolah.

“Maklumat lanjut mengenai operasi sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JAIS dari semasa ke semasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top