Sekolah di Kota Setar, Pendang laksanakan PdPR tiga hari bermula esok

Sekolah di Kota Setar, Pendang laksanakan PdPR tiga hari bermula esok

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Pengoperasian sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang akan dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari bermula esok hingga Selasa (29 hingga 31 Mac) ini susulan cuaca panas melanda.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas kedua-dua daerah berkenaan merekodkan tahap suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut bermula kelmarin hingga hari ini berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Katanya, pelaksanaan PdPR itu adalah selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.

“Pelaksanaan ini membabitkan keseluruhan 206 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar dan PPD Pendang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sekiranya keadaan cuaca kembali normal, pengoperasian sekolah secara bersemuka akan disambung semula pada hari berikutnya berdasarkan penilaian semasa.

JPN Kedah memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dan akan menyalurkan maklumat terkini berkaitan pengoperasian sekolah dari semasa ke semasa.

Katanya semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan penjaga diminta memberi kerjasama penuh bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PdPR sepanjang tempoh berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top