Seksi… Daiyan Trisha terima saja teguran, cuba terbaik untuk berubah

Seksi… Daiyan Trisha terima saja teguran, cuba terbaik untuk berubah

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha, 32, sentiasa terima segala kritikan dan teguran ramai terutama mengenai penampilan atau gaya fesyen terlalu seksi yang digayakannya.

Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin berkata, dia sudah biasa dengan pelbagai kecaman dan akui tiada sesaat pun dia tidak berusaha untuk terus memperbaiki diri.

“Saya rasa itu adalah satu perkara yang saya akan sentiasa terima sepanjang bergelar anak seni. Saya masih cuba istiqamah dan saya terima saja semua nasihat dan komen-komen orang.

“Daripada saya sendiri, saya akan cuba yang terbaik untuk berubah. Tapi kita tak tahu kan? Mungkin esok, lusa saya akan berubah,” katanya ditemui di ‘Malam Paling Terhangat’ Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) di APW, Bangsar, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Daiyan juga enggan mengulas mengenai teguran dan komen segelintir mengenai pemakaiannya, apatah lagi Daiyan pernah mengerjakan umrah sebelum ini.

Menurut Daiyan, perkara itu terlalu peribadi dan baginya tidak perlu diperjelas. Dalam pada memperbaiki diri, Daiyan juga ingin sentiasa menjadi diri sendiri.

“Saya tak boleh komen banyak dan kalau soal dah pergi umrah atau belum. Itu adalah antara saya dan Allah.

“Saya juga tak nak komen bila ramai yang tegur soal pemakaian saya. Saya cuma menjadi diri saya dan akan sentiasa cuba untuk berubah bila sampai masa yang tepat,” katanya.

Dalam pada itu, Daiyan meluahkan rasa syukur mendapat dua pencalonan di AMT2025 untuk kategori Selebriti Stailo Terhangat dan Selebriti Feminin Terhangat.

Kemuncak anugerah berprestij itu berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini jam 9 malam.

Ia akan diacarakan Fikry Ibrahim dan Ain Edruce serta barisan penghibur dan penyampai anugerah.

Kemeriahannya boleh diikuti secara langsung di TV3 dan strim eksklusif di Tonton. Acara Karpet Merah akan menemui penonton lebih awal, mulai jam 8 malam di TikTok Melodi Berapi dan TV3 Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top