Sektor keusahawanan peluang pekerjaan perlu diterokai graduan

Sektor keusahawanan peluang pekerjaan perlu diterokai graduan

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan mahu graduan menerokai peluang keusahawanan, selain mencari pasaran pekerjaan di sektor awam dan korporat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, ini berikutan lambakan graduan akan mewujudkan persaingan sengit untuk mendapat peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan swasta.

“Negara kita masih banyak berbincang mengenai pengangguran dalam kalangan graduan sedangkan kita mempunyai pilihan iaitu bidang keusahawanan.

“Sebagai graduan pemikiran pertama mereka sebaik menamatkan pengajian adalah mencari kerjaya sebagai sumber pendapatan, sama ada pekerjaan dalam perkhidmatan awam atau swasta.

“Tapi pada saya pilihan paling besar adalah pekerjaan yang kita cipta sendiri iaitu usahawan. Sektor keusahawanan adalah peluang pekerjaan yang perlu diterokai oleh graduan,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat (YBR) 2024 di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Ahli-Ahli Lembaga Pengarah YBR dan Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, kerajaan menerusi agensi berkaitan termasuk kerjasama korporat menyediakan pelbagai kemudahan geran dan pembiayaan kepada mereka yang mahu terbabit dalam keusahawanan.

“Inisiatif kerajaan khususnya Kuskop menyediakan peluang kepada anak muda terutama graduan dan bakal graduan seperti Program Protege untuk membina graduan dengan minda usahawan.

“Saya amat mengharapkan graduan dan bakal graduan sama ada di bawah bantuan pendidikan YBR dan di luar sana supaya memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya masa depan sekali gus membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 200 graduan di bawah bantuan pendidikan YBR menerima anugerah kecemerlangan selepas memperoleh pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 ke atas.

Kesemua graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari universiti awam seluruh negara itu menerima wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Pada majlis sama, YBR turut menyerahkan komputer riba kepada 25 pelajar terbaik matrikulasi yang menerima tajaan biasiswa yayasan itu untuk melanjutkan pengajian dalam ljazah Sarjana Muda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top