Sekuel Hilang Dalam Rindu sarat emosi dan air mata

Sekuel Hilang Dalam Rindu sarat emosi dan air mata

am@hmetro.com.my

SELEPAS mencatatkan fenomena luar biasa dengan kutipan sembilan juta tontonan serta 1.5 bilion capaian di media sosial pada musim lalu, drama rantaian popular Hilang Dalam Rindu kini kembali menemui peminat menerusi sekuel terbaharu yang menjanjikan lebih banyak emosi dan air mata.

Naskhah berjudul Hilang Dalam Rindu 2 (HDR2) terbitan Suhan Movies ini dijadualkan menemui penonton bermula hari raya pertama ini bagi menyemarakkan lagi kempen Ramadan Raya 2026.

Kemunculan semula drama ini diraikan dalam satu majlis iftar istimewa yang berlangsung di Banglo 289, di sini, baru-baru ini yang turut dihadiri barisan pelakon utama dan rakan media.

Majlis terbabit bertujuan memberi peluang kepada peminat berinteraksi secara lebih dekat dengan pelakon utama, sekali gus mengeratkan ukhuwah sebelum drama berkenaan ditayangkan secara rasmi di kaca televisyen.

Masih mengekalkan gandingan serasi, Jazmy Juma dan Tracie Sinidol sebagai pasangan suami isteri, musim kedua ini turut diperkuatkan dengan kehadiran pelakon Zarif Ghazzi serta pelakon veteran berkaliber, Datuk Jalaluddin Hassan.

Jalan cerita kali ini memfokuskan kepada fasa baharu kehidupan watak Aira (Tracie) dan Eijaz (Jazmy) yang kini bergelar ibu bapa selepas mengharungi pelbagai ujian getir dalam perkahwinan mereka sebelum ini.

Permulaan HDR2 bakal membawa penonton menyelami detik cemas apabila Aira yang selamat melahirkan anak sulung mereka yang diberi nama Eirman.

Bagaimanapun, komplikasi ketika proses bersalin terbabit hampir meragut nyawa Aira sehingga meninggalkan kesan trauma yang amat mendalam terhadap emosi Eijaz.

Trauma berkenaan menyebabkan watak Eijaz menjadi bapa yang terlalu melindungi secara berlebihan sehingga mencetuskan konflik antara mereka.

Dalam masa sama, Aira pula cuba sedaya upaya untuk membuktikan bahawa dia mampu menggalas tanggungjawab menguruskan keluarga mengikut acuannya sendiri tanpa perlu dikawal ketat oleh suaminya.

Meskipun diwarnai dengan pelbagai babak manis dan lucu sebagai pasangan muda, rumah tangga mereka mula retak apabila perbezaan pendapat sering kali berakhir dengan pertengkaran.

Keadaan menjadi semakin parah apabila bayang-bayang masa lalu kembali menghantui mereka termasuk kemunculan semula individu yang pernah meninggalkan luka dalam kehidupan pasangan terbabit.

Secara keseluruhannya, naskhah ini bukan sekadar mengangkat tema cinta semata-mata, malah menyelami isu trauma, kepercayaan dan pengorbanan dalam membina sebuah institusi kekeluargaan yang utuh.

Penonton bakal disajikan dengan konflik yang sangat dekat dengan realiti masyarakat hari ini terutama dalam aspek tanggungjawab serta cabaran sebagai ibu bapa baharu.

Penonton boleh menyaksikan drama Hilang Dalam Rindu 2 pada jam 10.30 pagi di TV3 bermula dari hari raya pertama sehingga hari raya kelima.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top