Sekularisme: Dahulu dan hari ini

Sekularisme: Dahulu dan hari ini

BENIH zaman penjajah

Pasca Perang Dunia Kedua, Malaysia Merdeka dalam keadaan pemikiran sekularisme itu telah berakar. Benihnya ditanam sejak zaman penjajah.

Antaranya dalam Perjanjian Pangkor 1874 (gambar). Pentadbiran negeri diurus oleh Residen, manakala hal ehwal agama Islam dan adat Melayu dikekalkan di bawah Istana.

Secara tak langsung, politik itu telah terpisah daripada Islam. Sejak itu, kefahaman orang Islam, fikir Islam itu hanya sekadar religion atau anutan semata-mata.

Tidak lihat Islam itu sebagai panduan hidup apatah lagi panduan untuk menguruskan negeri atau negara (berpolitik).

Disebabkan itu, lahirlah gerakan-gerakan Islam yang cuba mengembalikan kefahaman umat Islam, untuk menyedari bahawa negara atau negeri itu mesti diperintah ikut cara Islam.

Mengembalikan kefahaman

Gerakan Islam lahir untuk mengembalikan kefahaman umat Islam, bahawa negara itu mesti diperintah mengikut cara Islam.

Usaha mengembalikan kefahaman ini memakan masa yang panjang. Gerakan Islam masuk dalam arena politik untuk menang dan memerintah mengikut cara Islam.

Awal 90-an, PAS berjaya di Kelantan. Sezaman dengannya FIS di Algeria dan Refah di Turki. Melihatkan Islam boleh menang dalam arena politik, Amerika merasa tergugat.

Amerika tergugat kerana mereka agak fobia dengan Soviet yang sebelum itu pernah menjadi pencabar mereka. 

Bermula penentangan

Samuel Huntington menulis dalam Foreign Affairs mencetuskan pemikiran bahawa Islam akan gantikan Soviet. Kemudian tulisan itu dikembangkan menjadi buku Clash of Civilazation.

Setelah itu, Amerika melihat bahawa Islam itu mengancam mereka. Lalu mereka atur agenda untuk menyekat gerakan gerakan Islam yang terlibat dengan politik.

Untuk menyekat gerakan itu, mereka mewujudkan agenda untuk menjauhkan orang Islam, daripada gerakan Islam politik. Di sini lahirlah Islam baru model Amerika, iaitu Muslim Moderate.

Doktrin

Fahaman utama doktrin Muslim Moderate ialah sekularisme. Iaitu orang Islam yang berjuang supaya Islam itu tidak campur dalam urusan politik atau pentadbiran negara.

Lalu mereka akan mewujudkan program atau doktrin supaya orang Islam merasa jijik dengan politik. Bahkan doktrin bahawa Islam itu parti Islam itu bukan lagi dalam agenda Islam.

Mereka anggap agenda Islam itu hanya sekadar memperbaiki hati, akhlak dan tingkah laku. Tidak menganggap negara dan pemerintahan Islam itu juga adalah agenda Islam.

Maka, golongan Muslim Moderate ini akan menyemarakkan program-program pembinaan akhlak, dan pembaikian hati. Manakala ilmu politik dan pentadbiran Islam itu ditentang.

Hari ini

Hari ini, umat Islam itu terkeliru akibat doktrin sekularisme ini. Ada yang meninggalkan politik Islam, kerana melihat ia agak kotor. 

Ada yang melihat agenda Negara Islam itu sebagai agenda yang ekstrem. Ada pula yang melihat ia sekadar retorika dan utopia sahaja.

Walau bagaimanapun, kita perlukan kefahaman mengenai Islam yang sebenar, dan kesabaran untuk melalui halangan, serta keyakinan bahawa Islam itu akan kembali.

Jangan faham Islam itu secara sekerat, jangan pancit untuk tegakkan agenda ini, dan jangan ragui janji Allah.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/7/2023

Advertisement

Scroll to Top