Sekurang-kurangnya 58 maut dalam letupan masjid di Pakistan

Sekurang-kurangnya 58 maut dalam letupan masjid di Pakistan

PESHAWAR, PAKISTAN: Sekurang-kurangnya 58 orang terbunuh, manakala 200 lagi cedera dalam letupan dicetuskan pengebom berani mati di sebuah masjid Syiah di bandar Peshawar di barat laut Pakistan, semalam.

Kumpulan DAESH dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu, sekali gus menjadikannya antara serangan terbesar dilakukan kumpulan itu di Pakistan.

Sebelum kejadian, seorang lelaki bersenjata tiba berhampiran masjid dengan motosikal dan melepaskan tembakan apabila dihalang polis, sebelum memaksanya masuk ke dalam dewan yang sesak lalu meletupkan jaketnya, kata pegawai kanan polis, Haroon Rasheed.

Katanya, penyerang itu melepaskan tembakan pertama ke arah pengawal polis di pintu masuk masjid, membunuh seorang daripada mereka.

“Lelaki bersenjata itu memasuki masjid dan mula melepaskan tembakan ke arah jemaah dan akhirnya meletupkan dirinya sendiri,” katanya.

Serangan itu antara yang paling buruk dalam tempoh beberapa tahun apabila kumpulan minoriti Syiah Pakistan, menjadi sasaran militan Islam Sunni, termasuk DAESH dan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), juga dikenali sebagai Taliban Pakistan.

Menurut pegawai Hospital Lady Reading, ramai yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Sardar Hussain yang kehilangan tiga saudara dalam letupan itu, berkata masjid itu adalah satu-satunya rumah ibadat bagi masyarakat Syiah di bandar lama Peshawar.

Serangan oleh militan menjadi insiden hampir setiap hari di Pakistan sehingga tentera melancarkan tindakan keras ke atas kumpulan itu pada 2014.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menerusi kenyataan pejabatnya, menyelar pengeboman itu.

Serangan itu berlaku ketika pasukan kriket Australia melawat Pakistan buat kali pertama dalam tempoh lebih dua dekad dan tinggal di Islamabad, 140 kilometer dari Peshawar.

Pakistan hanya mula menganjurkan sukan antarabangsa namun banyak acara antarabangsa diubah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan kebimbangan yang memuncak. – REUTERS

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top