'Selagi bernyawa, saya takkan benarkan Amira tanggung derita seorang diri'

'Selagi bernyawa, saya takkan benarkan Amira tanggung derita seorang diri'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Gombak: “Walaupun tak ada rezeki dapat zuriat, Allah SWT takdirkan saya jadi penjaga kepada keluarga dan syukur dengan nikmat itu.”

Itu kata Amira Azhana Hassan, 35, yang bukan hanya bertahan sebagai pejuang pasangan sedang cuba hamil (TTC) selama 12 tahun, malah turut diuji apabila disahkan menghidap barah rahim tahap satu pada Julai tahun lalu.

Selepas lebih setahun menderita akibat penyakit itu, Amira Azhana mengambil keputusan membuang rahimnya menerusi satu pembedahan pada 14 Ogos lalu.

Menceritakan kisahnya, Amira Azhana dari Taman Harmoni, di sini berkata, sejak awal disahkan menghidap barah, doktor sudah mengesyorkannya membuang rahim kerana khuatir sel barahnya menjadi agresif kemudian merebak ke hati dan paru-paru.

“Awalnya saya tak nak (buang rahim) kerana berusaha nak dapatkan anak, pada mulanya doktor pun berat hati namun bagi saya masa untuk fikir.

“Tapi selepas lebih setahun sakit, saya setuju untuk buang rahim.

“Ikutkan pembedahan itu sepatutnya dijalankan pada 30 Julai lalu kemudian ditangguhkan ke awal Ogos dan akhirnya pertengahan bulan (Ogos).

“Dulu sedih tapi waktu nak buat pembedahan, saya sudah reda dan fikir mahu hidup gembira saja.

“Tak perlu fikir soal anak lagi dan bila nak mengandung, jadi lebih tenang,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi pengalamannya sebagai pejuang TTC, Amira Azhana mengakui perjalanan itu tidak mudah kerana sangat mencabar dan banyak bermain dengan emosi.

Bagaimanapun, Amira Azhana bersyukur kerana suaminya Yusyairi Yunus, 37, banyak membantu malah sentiasa ada bagi memberi semangat di kala dia berada pada titik terendah.

“Cabaran paling besar bagi pasangan TTC adalah berdepan mulut orang yang tak habis nak mengata dan lebih sakit apabila yang buat begitu adalah orang terdekat.

“Saya pernah dituduh mandul oleh seorang individu dan waktu itu memang tersentak.

“Hakikatnya, saya bukan begitu (mandul) kerana pernah tiga kali hamil.

“Kali pertama bunting pelamin namun gugur dan kedua pada 2017 cuma kandungan hanya bertahan selama lapan minggu.

“April tahun lalu, saya disahkan mengandung lagi namun kandungan hanya bertahan selama 10 minggu sebelum mengalami keguguran.

“Kami tak merancang pun (soal zuriat) kerana daripada awal, kami berdua memang nak anak.

“Ikutkan kami sudah berhabis banyak duit untuk berikhtiar termasuk ambil makanan tambahan, berurut dan menjalani rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) namun semuanya tak berhasil,” katanya.

Amira Azhana berkata, selain dipersenda, ada juga individu terdekat pernah mengesyorkan suaminya berkahwin dengan harapan dapat menimang zuriat bersama wanita lain.

“Saya pun pernah tanya dia (suami) nak kahwin lagi atau tak selepas 10 tahun kami berkahwin dan syukur suami masih setia hingga ke hari ini.

“Saya ada kongsikan di TikTok serba sedikit kisah sebagai pejuang TTC dan barah rahim.

“Tak sangka ramai beri kata semangat dan walaupun tiada zuriat, Allah SWT izinkan kami dapat ‘anak online’ di TikTok.

“Kalau baca komen memang tersentuh semuanya positif dan bila baca seperti anak mengadu dekat emak.

“Ia beri saya satu perasaan yang tak pernah rasa sebelum ini,” katanya yang kini membantu menjaga lima anak saudaranya ketika ada kelapangan bagi menumpang kasih dengan mereka.

Sementara itu, suaminya, Yusyairi berkata, selagi bernyawa, dia tidak akan membiarkan isterinya menanggung sendiri ujian berat berkenaan.

“Ketika dia (isteri) disahkan menghidap barah, saya sedih. Depan dia saya nampak kuat, pujuknya tapi bila bersendirian, saya menangis juga kerana terasa bebannya.

“Sibuk macam mana pun, saya akan temani isteri dan bantu apa yang perlu kerana anggap ia ujian kami bersama malah kesakitan dia rasa, saya juga rasa.

“Allah SWT uji kerana tahu isteri saya mampu dan walaupun tiada zuriat, kami bahagia kerana masih ada anak saudara untuk menumpang kasih malah saya rasa disayangi seperti ayah kandung,” katanya yang bekerja sebagai penasihat jualan kereta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top