'Selagi dia tak sebut nama saya, dia dalam zon selamat' – Ogy

'Selagi dia tak sebut nama saya, dia dalam zon selamat' – Ogy

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Selagi dia tak sebut nama saya dia dalam zon selamat,” kata pelakon veteran, Fauziah Ahmad Daud.

Fauziah atau mesra disapa Ogy berkata demikian ketika diminta mengulas apabila namanya ‘dipetik’ oleh netizen tatkala isu membabitkan penyanyi dan guru vokal Adzrin Adzhar yang diherdik oleh pelakon veteran hangat diperkatakan.

Enggan melatah, Ogy, 63, berkata, dia enggan mengulas lanjut selagi individu terbabit tidak menyebut secara jelas namanya dalam kenyataan yang dibuat.

“Kalau dia tak sebut saya tak perlu menjawab soalan ini. Jika sebaliknya, peguam saya akan menjawab soalan yang diajukan, semudah itu,” katanya kepada Harian Metro.

Ogy ketika ditemui selepas sidang media program Asian Pop Stars yang diadakan di Aswara, di sini berkata, dia hanya pernah bertemu penyanyi dan tenaga pengajar vokal itu sekali sahaja sebelum ini iaitu ketika sidang media konsert Ezad Lazim.

“Saya pernah bertemu dia sewaktu sidang media konsert Ezad Lazim itu sahaja. Kami tak pernah bekerjasama, cuma pernah dengar sahaja nama dia,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai dakwaan yang dibuat Adzrin mengenai dirinya menerima layanan buruk daripada seorang pelakon senior yang turut mempersoalkan keupayaannya sebagai tenaga pengajar.

Adzrin turut mendakwa pelakon itu meminta pihak produksi menggugurkan namanya daripada menyertai sebuah program seni yang masih dalam perancangan.

Walaupun kecewa dan terluka dengan tindakan itu, Adzrin memilih untuk kekal positif dan percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Program Asian Pop Stars yang menampilkan Ogy sebagai pengetua bakal memulakan siaran langsungnya menerusi saluran RTM bermula 29 November depan dan mencungkil bakat nyanyian dalam kalangan peserta dari Malaysia dan beberapa negara jiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top