Youtuber muda yang berasal dari Kelantan ini, Syahmi Sazli memaklumkan isterinya, Anissa Faizul selamat menimang cahaya mata kedua hari ini.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Syahmi menerusi laman Instagram dengan memuat naik sekeping gambar dia dan bayi lelakinya dalam sebuah wad.
Berdasarkan muat naik tersebut, pemilik nama Muhd Syahmi Sazli turut berkongsi nama anak lelakinya iaitu Khabib Umar.
“Selamat datang ke dunia, anak keduaku, Khabib Umar,”tulisnya ringkas di hantaran Instagram.
Meninjau ke laman InstaStory isteri Syahmi Sazli, dia juga berkongsi gambar anak lelaki mereka.
Perkongsian berita gembira itu dipenuhi dengan ucapan tahniah serta mendoakan agar bayi lelaki mereka menjadi seorang anak yang soleh di dunia dan akhirat.
Untuk rekod, Syahmi mendirikan rumah tangga bersama Anissa Faizul pada 23 Februari 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ainul Mardhiah yang kini berusia 3 tahun dan kini bertambah seorang bayi lelaki.