Selamat Tahun Baru 2026 Dari Oh! Media | Oh! Khai – Oh! Media

Selamat Tahun Baru 2026 Dari Oh! Media | Oh! Khai – Oh! Media
Team Oh Media

Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembaca setia Oh! Media atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini. Kesudian anda semua dalam menjadikan Oh! Media sebagai sumber utama untuk mendapatkan berita-berita terkini yang berlaku di Malaysia setiap hari amat kami hargai dan menjadi pendorong utama dalam usaha kami menyampaikan maklumat yang tepat dan berinformasi.

Pada pertengahan tahun 2025, Oh! Media telah melangkah ke satu fasa perubahan besar dengan memberi penekanan utama kepada pembangunan media sosial. Langkah ini diambil selaras dengan permintaan pasaran dan kecenderungan pengguna internet hari ini yang lebih aktif di platform media sosial berbanding laman web tradisional. Kami percaya bahawa pendekatan ini akan memperluas lagi capaian dan keberkesanan penyampaian berita kepada masyarakat.

Bagi tahun 2026, strategi yang sama akan diteruskan. Walaupun fokus utama adalah pembangunan media sosial, kami tetap akan memberi perhatian kepada penulisan di laman web yang sarat dengan pelbagai berita yang berguna. Kami sedar bahawa walaupun mungkin suatu hari nanti hanya seorang sahaja yang mengunjungi laman web kami setiap hari, komitmen terhadap penyediaan maklumat tetap akan dikekalkan. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan keberadaan dan keberkesanan platform digital Oh! Media dalam menyampaikan berita kepada semua lapisan masyarakat.

Sebagai pengasas dan pengarah Oh! Media yang sentiasa bersama anda sejak tahun 2010 dan menjadi saksi jatuh bangunnya jenama ini hingga berada pada tahap hari ini, ianya telah lama menjadi kejayaan peribadi pada diri saya yang amat sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Saya dan juga seluruh kumpulan Oh! Media ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan anda semua selama ini. Tanpa kepercayaan dan sokongan padu daripada anda, kejayaan ini tidak mungkin tercapai. InsyaAllah, kami berjanji akan berusaha lebih gigih lagi untuk memberikan yang terbaik pada tahun 2026 dan seterusnya.

Terima kasih sekali lagi atas segala sokongan dan kepercayaan anda. Mari kita sambut tahun baru dengan semangat baru untuk terus bersama-sama membina media yang lebih berkualiti dan berinovasi.

Terima kasih.
______________

Khai Hassan
Pengasas & Pengarah Oh Media Sdn. Bhd

author avatar

Penjinak sepenuh masa di Oh! Media. Telah mencipta jenama ini sejak dari dalam perut mak lagi. Tak percaya tanya mak saya | Instagram

Scroll to Top