PETAING JAYA: “Mengucapkan selamat tinggal bukanlah sesuatu yang mudah.”
Itulah luahan menyentuh hati juara dunia beregu campuran, Toh Ee Wei sejurus mengucapkan penghargaan kepada Nova Widianto yang secara rasmi menamatkan khidmatnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bermula esok.
Ee Wei menyifatkan Nova bukan sekadar seorang jurulatih, sebaliknya individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya sehingga muncul juara dunia bersama Chen Tang Jie pada Kejohanan Badminton Dunia 2025.
“Mengucapkan selamat tinggal bukanlah sesuatu yang mudah, terutama kepada seseorang yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami.
“Kami menghormati keputusan itu dan amat bersyukur kerana pernah melalui perjalanan ini bersama beliau. Setiap jurulatih meninggalkan impak yang berbeza dan kami berbangga kerana pernah dibimbing oleh beliau,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Hari ini, BAM menerusi satu kenyataan mengumumkan Nova menamatkan tugasnya sebagai ketua jurulatih beregu campuran negara selepas lebih tiga tahun berkhidmat sebelum kembali ke Indonesia, dengan pencapaian terbesar membimbing Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul beregu campuran pertama Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Dunia.
Dalam pada itu, Ee Wei berkata, dedikasi Nova sepanjang membimbing skuad beregu campuran negara bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi pemain di gelanggang, malah membentuk mereka menjadi individu yang lebih baik.
“Terima kasih atas segala tunjuk ajar, kepercayaan dan dedikasi sepanjang perjalanan kami. Terima kasih kerana sentiasa menjaga kami, menyokong kami dan membantu kami berkembang sebagai pemain serta insan di dalam dan di luar gelanggang.
“Kami mendoakan agar jurulatih terus berjaya dan berbahagia dalam fasa baharu kehidupan. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan kami,” katanya.
Nova yang menyertai BAM pada Januari 2023 meninggalkan legasi cukup bermakna apabila menghadiahkan gelaran dunia pertama negara dalam acara beregu campuran, sekali gus meletakkan namanya antara jurulatih paling berjaya pernah membimbing skuad kebangsaan. – UTUSAN




