harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 47 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka sertai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Kewartawanan Alam Sekitar di Pusat Konservasi Penyu, Padang Kemunting, Masjid Tanah, di Melaka hari ini.
Penasihat Program, Shafezah Abdul Wahab berkata, program itu membabitkan pelajar dari Kelab Kewartawanan Mahasiswa UiTM Melaka.
Menurutnya, peserta dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berhubung pemeliharaan hidupan laut selaras dengan tema program iaitu ‘Menjaga Alam, Mewartakan Harapan’.
“Pada masa sama, program ini dapat mengasah kemahiran kewartawanan berorientasikan kelestarian alam sekitar.
“Pusat konservasi yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan Negeri Melaka itu menjadi lokasi utama dalam pemuliharaan penyu agar dan penyu karah yang semakin terancam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, menerusi program berkenaan, peserta bukan sahaja dapat memahami usaha konservasi malah dapat menghasilkan penulisan berdasarkan realiti di lapangan.
Katanya, antara aktiviti termasuk sesi bimbingan mengenai biologi dan ancaman penyu, demonstrasi pemindahan telur ke kawasan inkubasi, proses penetasan telur serta gotong-royong.
Shafezah berkata, peserta juga didedahkan dengan tugas kewartawanan menerusi bengkel penulisan di mana pelajar perlu menghasilkan laporan berdasarkan pemerhatian dan temu bual bersama pegawai konservasi.
Sementara itu, peserta, Wan Nur Khatijah Wan Ahmad Hussaini berkata, program terbabit memberikan pelbagai nilai tambah kepada pelajar yang menyertainya.
“Penyertaan pelajar dari pelbagai program pengajian memberikan nilai tambah kepada wacana kewartawanan yang lebih holistik dan inklusif.
“Kami percaya isu alam sekitar bukan hanya milik satu disiplin sahaja, jurnalisme berperanan membuka mata masyarakat terhadap pentingnya keseimbangan ekologi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd