Selangor anjur Karnival Mantai, tawar daging RM25 sekilo

Selangor anjur Karnival Mantai, tawar daging RM25 sekilo

Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan Karnival Mantai negeri buat kali pertama yang menawarkan jualan daging lembu pada harga murah berbanding harga pasaran menjelang Aidilfitri, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim.

Beliau berkata karnival dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan di Beranang, Hulu Langat dan Shah Alam, dengan jualan di Shah Alam berlangsung selama dua hari bermula 17 Mac.

Beliau berkata sebanyak 10 tan daging lembu disediakan dan melibatkan peruntukan RM50,000 dalam bentuk kupon manakala RM30,000 diperuntukkan untuk pembelian ayam sebagai pilihan kepada pengunjung, dengan setiap kupon bernilai RM5.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan bernilai RM100,000 untuk program ini dan daripada jumlah itu, RM20,000 diagihkan di Beranang manakala RM80,000 di Shah Alam. Kupon yang diberikan boleh digunakan untuk daging atau ayam.

“Harga daging lembu di karnival itu sekitar RM30 sekilogram lebih rendah berbanding harga pasaran kira-kira RM38 sekilogram. Tetapi dengan kupon RM5, orang ramai boleh membeli daging pada harga kira-kira RM25 sekilogram,” katanya.

Izham berkata demikian selepas merasmikan Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Beliau berkata program di Shah Alam berlangsung selama 24 jam bagi memberi peluang lebih ramai pengunjung mendapatkan bekalan daging pada harga berpatutan.

“Selain itu, turut disediakan ialah jualan barangan sampingan seperti santan, kerisik dan produk keperluan memasak bagi memudahkan persiapan orang ramai menjelang Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, berhubung bekalan daging babi, Izham berkata Selangor masih bergantung kepada negeri lain seperti Perak dan Sarawak kerana pengeluaran tempatan tidak mencukupi untuk menampung permintaan sedia ada.

Beliau berkata Sarawak diberi kebenaran membawa masuk sehingga 2,000 ekor ternakan itu seminggu namun bekalan diterima hanya kira-kira 800 ekor seminggu, iaitu kurang 20 peratus daripada keperluan sebenar negeri itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top