Selangor bakal jadi hab teknologi utama Asia Tenggara

Selangor bakal jadi hab teknologi utama Asia Tenggara

SHAH ALAM – Selangor bakal menjadi antara hab teknologi utama Asia Tenggara menerusi penganjuran Selangor Techsphere Summit 2025 yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 12 November depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran sidang kemuncak dan pameran teknologi bertaraf antarabangsa itu merupakan langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem perindustrian berteknologi tinggi di negeri tersebut.

“Pengelolaan pameran dan sidang kemuncak ini akan membina ekosistem inovasi kukuh, mempercepat pemindahan teknologi daripada pelopor industri global.

“Ia juga mampu memperkasa modal insan tempatan yang berkemahiran tinggi, sejajar dengan keperluan industri masa kini dan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dari Kiri: Ketua Pegawai Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid dan Pengarah Urusan Hannover Fairs Asia Pacific, Tim Bostridge bertukar dokumen MoU. Ia disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua kanan) dan Pengerusi STDC, Nazri Noh (dua kiri).

Dari Kiri: Ketua Pegawai Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid dan Pengarah Urusan Hannover Fairs Asia Pacific, Tim Bostridge bertukar dokumen MoU. Ia disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua kanan) dan Pengerusi STDC, Nazri Noh (dua kiri).

Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dilantik sebagai agensi pelaksana bagi mewakili kerajaan negeri dalam menjayakan acara tersebut dengan kerjasama Hannover Fairs Asia Pacific Pte Ltd, wakil rasmi Deutsche Messe AG di rantau ini.

STDC turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama RA Integration Sdn Bhd bagi membangunkan bakat mahir dalam sektor industri rel melalui program pensijilan tambahan kepada pelajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sedia ada.

Kerjasama itu merangkumi pembangunan modul penyelenggaraan, baik pulih dan operasi (MRO) industri rel untuk menampung permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang berkenaan.

Tambah beliau, pemilihan Selangor sebagai tuan rumah oleh syarikat penganjur berpangkalan di Jerman, Deutsche Messe AG meletakkan negeri itu sebaris dengan negara-negara lain seperti Jerman, Mexico, Singapura dan Arab Saudi.

“Penganjuran ini akan memfokus kepada teknologi pengilangan pintar, ekosistem industri digital serta sub-teknologi global seperti Industri 4.0, teknologi 5G industri dan kecerdasan buatan (AI).

“Summit ini juga akan menampilkan pelbagai program sokongan seperti sesi kolaborasi, jaringan industri serta penglibatan pakar akademik,” ujarnya.

Beliau turut yakin program tersebut akan memberi pendedahan kepada teknologi rel termasuk sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara industri (HVAC).

“Ia juga merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan, baik pulih dan pembaikan menyeluruh MRO yang berkaitan sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam sektor rel.

“Penganjuran Techsphere Summit 2025 dan kerjasama strategik industri ini diyakini mampu menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan ekosistem teknologi negara dan mengangkat Selangor sebagai hab teknologi terulung di rantau Asia Tenggara,” kata beliau.

Scroll to Top