am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kerajaan Selangor akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap iklan berkaitan e-rokok selepas tempoh yang diberikan kepada peniaga atau penjual rokok berkenaan berakhir.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, sebelum ini arahan penurunan iklan atau papan tanda berkaitan e-rokok itu dikeluarkan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar.
“Kita beri tempoh tertentu kepada peniaga dan pengusaha e-rokok untuk menurunkan papan tanda mereka.
“Jika selepas tempoh itu masih ada yang ingkar, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diarahkan untuk menjalankan penguatkuasaan termasuk menyaman,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri memahami keadaan ekonomi dan pelbagai perniagaan berhadapan detik sukar ketika ini justeru pihaknya memberi peluang kepada pengusaha untuk menurunkan sendiri iklan berkenaan.
“Bagaimanapun, apabila masa dah sampai dan mereka masih ingkar, maka tindakan akan diambil.
“Kalau ada yang degil, saman akan dikenakan dan kos pelaksanaan penguatkuasaan (penurunan papan iklan dan sebagainya) mungkin akan dituntut kepada peniaga,” katanya.
Media pada Mei lalu melaporkan, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah menyita iklan memaparkan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri, dengan negeri ini dalam proses pertimbangan untuk melarang penjualannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




