Selangor elak jerat gergasi Asia Timur

Selangor elak jerat gergasi Asia Timur

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) boleh menarik nafas lega apabila undian Liga Juara Juara Asia 2 (ACL2) musim ini memihak kepada mereka selepas terlepas daripada berdepan wakil Liga Jepun (Liga J) dan Liga Korea (Liga K).

Dalam undian yang berlangsung sebentar tadi, skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi itu ditempatkan dalam Kumpulan G bersama tiga wakil Asia Tenggara, sekali gus memberi peluang cerah untuk mara ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, cabaran getir tetap menanti apabila mereka dijadual berdepan Bangkok United dari Thailand yang turun beraksi di ACL2 selepas kecundang di pusingan kelayakan Liga Juara Juara Asia Elit (ACLE).

Bangkok United bukan calang-calang lawan, malah kelab itu memiliki deretan pemain import berkualiti yang mampu menggugat mana-mana pasukan di rantau ini.

Selain itu, SFC turut akan bertembung dengan juara Liga Premier Singapura (SPL) yang juga pemenang Piala Singapura, Lion City Sailors, sebuah pasukan yang terkenal dengan kekuatan serangan pantas.

Melengkapkan cabaran Kumpulan G adalah Persib Bandung, juara Liga 1 Indonesia yang mengesahkan slot selepas menewaskan Manila Digger dalam aksi ‘play-off’.

Persib yang mendapat jolokan ‘Maung Bandung’ terkenal dengan sokongan padu ribuan penyokong fanatik, menjadikan pertemuan di Stadium Gelora Bandung Lautan Api pasti mengujakan.

Sebagai rekod, musim lalu SFC menghuni tangga ketiga Kumpulan H ACL2, sekali gus gagal mara ke peringkat seterusnya, namun pengalaman itu pasti menjadi bekalan berharga.

Kali ini, undian yang lebih ‘mesra’ ini dilihat memberi sinar baharu buat The Red Giants untuk mencipta sejarah mara lebih jauh dalam pentas Asia.

Namun, segalanya bergantung kepada sejauh mana anak buah Kinoshi mampu mengekalkan fokus dan konsistensi, apatah lagi aksi pertama Kumpulan G bakal menjadi penentu rentak kempen mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top