Selangor FC bersedia uji kekuatan juara JDT

Selangor FC bersedia uji kekuatan juara JDT

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC bakal menempuh satu lagi cabaran getir apabila berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertembungan tumpuan Liga Super malam esok di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ketika ini, JDT berada di puncak liga dengan 36 mata manakala Selangor berada di tangga ketiga dengan 25 mata. Perbezaan 11 mata itu menambah cabaran buat pasukan Selangor yang mahu mengejar prestasi konsisten.

Jurulatih Selangor, Christophe Gamel mengakui permulaan musim ini penuh cabaran, namun ia menjadi ukuran penting untuk menilai perkembangan pasukannya sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan.

“Ya, permulaan yang sangat sukar. Tetapi, ia juga cara yang baik untuk melihat sama ada kami telah bertambah baik sejak saya berada di sini,” kata Gamel.

“Kami dapat lihat bahagian yang perlu diperbaiki dan juga aspek positif yang boleh dikekalkan,” katanya.

Gamel berkata pertemuan menentang JDT bukan sekadar soal menang atau kalah, namun ia lebih kepada proses pembangunan pasukan.

“Setiap perlawanan menghadirkan cabaran berbeza, dan kami perlu bersedia dari segi mental dan taktikal,” katanya.

Beliau menegaskan, pendekatan ini penting untuk memastikan pemain tidak mudah goyah apabila berdepan tekanan tinggi, terutamanya menentang pasukan juara bertahan seperti JDT.

“Fokus bukan hanya pada keputusan, tetapi juga pada bagaimana kami bermain dan berkembang sebagai satu unit

“JDT adalah pasukan terbaik sejak bertahun-tahun lamanya. Awak boleh lihat betapa sukarnya untuk mereka menang dalam ACL (Liga Juara-Juara) setiap tahun walaupun mereka bersaing hebat,” katanya.

Beliau menekankan, kehebatan JDT bukan sekadar kerana kemampuan teknikal pemain tetapi juga semangat dan disiplin yang tinggi.

“Mereka sentiasa mahu berada di puncak dan itu yang membezakan mereka dengan pasukan lain

“Saya suka mentaliti mereka yang sentiasa mahu berada di puncak. Kami perlu melalui proses yang sama,” katanya.

Beliau menambah, pemain Selangor perlu menghadapi perlawanan malam esok dengan fokus penuh dan keyakinan tinggi.

“Ia bukan sahaja ujian taktikal tetapi juga ujian mental. Jika kami boleh mengekalkan konsistensi dan disiplin, kami mampu beri saingan sengit,”katanya.

Perlawanan malam esok juga dijangka menjadi medan tontonan menarik bagi penyokong Liga Super, dengan kedua-dua pasukan mahu mempamerkan aksi terbaik dan mengekalkan momentum positif dalam liga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top