sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Juara Piala Futsal Malaysia (MFC) musim lalu, Selangor FC akan berusaha mempertahankan rentak cemerlang yang dilakar, tegas ketua jurulatihnya, Edgar Baldasso.
Beliau yang musim keempat bersama skuad Merah Kuning berkata, musim ini dia mempunyai pasukan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan tiga generasi pemain bekerjasama memburu piala kejuaraan sebagai misi utama.
Katanya, barisan pertama pemain yang lebih matang dan kumpulan kedua masih muda yang muncul ketika mula beliau bersama Selangor seterusnya kelompok ketiga terdiri daripada pemain bawah 19 tahun (U19) yang membentuk skuad terbaik pernah dimiliki.
“Gabungan ini boleh menjadi senjata yang sangat menarik untuk disaksikan jika terus diberikan ruang dan masa untuk mereka bekerjasama membentuk pasukan yang lebih mantap.
“Kekuatan utama pasukan pastinya terletak pada permainan berpasukan (kolektif), kualiti individu juga akan menjadi lebih terserlah. Justeru, kita sememangnya kini berada di landasan kemenangan dengan syarat pemain dapat melakukan segalanya dengan penuh semangat,” katanya, di sini.
Beliau menambah, gandingan dua pemain import kelahiran Brazil, Evandro Borges dan Marlon Araujo juga mampu meletakkan Selangor pada landasan sebenar musim ini yang menjadi pelengkap kekuatan pasukan.
Baldasso berkata, Marlon adalah pemain yang hebat dan profesional kelas atasan, kualiti serta kematangannya mampu membantu membina sebuah pasukan yang kuat seterusnya menjadi pencabar utama saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim ini.
Menurutnya, musim lalu Selangor FC berjaya menjulang Piala Futsal Malaysia (MFC) selepas menewaskan Pahang Rangers FC di pentas akhir, sebelum itu skuad Merah Kuning muncul naib juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) selepas tewas pada Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Musim ini kita bercita-cita besar untuk memiliki dua piala kejuaraan yang dipertandingkan, diharapkan impian berkenaan menjadi kenyataan walaupun terpaksa berhadapan banyak rintangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




