firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC hampir melakar kejutan dalam aksi pertama Kumpulan A Kejuaraan Kelab Asean (ACC) apabila mengikat gergasi Thailand, Buriram United 1-1 di Chang Arena, Buriram, malam tadi.
Kejayaan membawa pulang satu mata itu sememangnya mengejutkan apatah lagi lawan yang dikendali Osmar Loss adalah juara bertahan selain dilabel antara kelab terbaik Asia apabila mara hingga ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit musim lalu.
Keputusan itu membolehkan anak didik Katsuhito Kinoshi memulakan kempen sulung ACC dengan momentum positif.
Aksi seimbang dipamerkan kedua pasukan sepanjang 45 minit pertama namun pelawat memiliki lebih banyak peluang untuk mencetak gol.
Kesempatan terbaik hadir pada minit 24 apabila penyerang Brazil, Chrigor Moraes bergerak solo dan berjaya mengatasi benteng tuan rumah namun percubaannya sedikit tersasar.
Begitupun, Moraes menebus kehampaan itu apabila memecah kebuntuan di minit 38 menerusi satu rembatan kencang selepas menerima hantaran Nooa Laine, sekaligus gagal dihalang Chatchai Budprom di depan gawang.
Bersambung babak kedua, The Thunder Castle memperkemaskan aksi dengan membuat pertukaran apabila membawa masuk beberapa pemain baharu bagi menambah kesegaran kepada pasukan.
Percubaan Robert Zulj di luar kotak penalti nyata mencemaskan kubu Selangor namun mujur Kalamullah Al-Hafiz lebih bersedia menafikan rembatan itu di minit 53.
Zulj sekali lagi menghadirkan ancaman apabila tolakannya terkena tiang pada minit 69 selepas dia menerima hantaran tepat Suphanat Mueanta buat melegakan kem pelawat.
Kubu Selangor terus diuji lima minit kemudian menerusi tandukan Supachai Chaided namun Kalamullah bertindak cemerlang apabila melayangkan badannya untuk menepis tandukan itu.
Kalamullah terus menjadi penghalang apabila penjaga gol kebangsaan itu tangkas mengagalkan dua kali percubaan berturut-turut lawan di minit 78 buat mengekalkan kelebihan pasukannya.
Asakan bertubi-tubi tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Zulj menanduk masuk gol penyamaan di minit 95, sekaligus kedua-dua pasukan meraih satu mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd