Selangor FC laung amaran buat TFC

Selangor FC laung amaran buat TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC melaungkan amaran awal buat Terengganu FC apabila mereka akan turun dengan skuad terbaik bagi memburu tiga mata penuh di halaman sendiri pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata, biarpun skuad kendaliannya tidak lagi berada dalam tekanan selepas mengesahkan tempat kedua Liga Super tetapi nafsu memburu kemenangan masih membara.

Beliau menyedari Terengganu akan turun untuk mendapatkan tiga mata penuh bagi mengejar tempat ketiga liga namun tiada laluan mudah buat skuad Penyu itu.

“Tempat kedua sudah menjadi milik kami. Namun sebagai pasukan dan pemain profesional, mereka harus sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Selain itu, jurulatih kelahiran Jepun itu juga melihat kemenangan pada perlawanan menentang Terengganu esok juga amat penting bagi menebus semula aksi hambar selepas tewas 1-2 kepada Kuching City pada aksi terakhir sebelum ini.

Malah, dirinya juga pasti ingin meneruskan rentak kemenangan meskipun permulaan yang agak kurang baik ketika membimbing Selangor di awal pelantikannya sebagai jurulatih Red Giants.

Selepas menentang Terengganu, Selangor akan menutup saingan Liga Super musim ini menentang PDRM, 19 April ini yang turut akan berlangsung di Stadium MBPJ.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top