Selangor FC tumbang di tangan Persib Bandung pula

Selangor FC tumbang di tangan Persib Bandung pula

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Laluan Selangor FC (SFC) untuk ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) semakin berliku selepas tewas 0-2 kepada wakil Indonesia, Persib Bandung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, sebentar tadi.

Dalam tempoh 10 minit awal, gawang SFC diuji dua kali menerusi rembatan deras dan tepat penyerang import tuan rumah, Uilliam Barros, namun kedua-duanya berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

SFC yang cuba bangkit dikejutkan pada minit ke-29 apabila hantaran Marc Klok disambar Adam Alis, sebelum melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti untuk membuka jaringan buat Persib.

Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi Chrigor Moraes, namun rembatan penyerang import itu dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Persib, Teja Paku Alam.

Pasukan Merah Kuning yang ketika ini dibimbing jurulatih sementara, Christophe Gamel meningkatkan intensiti permainan dengan beberapa siri serangan berbahaya.

Alvin Fortes hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-50, namun percubaannya tidak membuahkan hasil.

Fortes sekali lagi mencuri tumpuan pada minit ke-56 apabila melepasi lima pemain pertahanan Persib sebelum rembatan derasnya ditepis keluar oleh Teja.

Namun, semangat juang SFC dipadam pada minit ke-63 selepas Federico Barba dijatuhkan Harith Haikal Adam Afkar dalam kotak penalti, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Andrew Jung tidak mensia-siakan peluang untuk menggandakan kedudukan buat skuad bimbingan Bojan Hodak itu.

Kekalahan itu menyaksikan SFC kekal tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan, sekali gus menjarakkan harapan mereka untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik ACL II.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top