firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurus pasukan Selangor dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2025, Zafrul Fazry akui sasaran pasukan itu kini mahu menjulang trofi PERR, sekali gus mengakhiri kempen musim ini dengan dua gelaran.
Sebelum ini, Selangor berjaya mengekalkan Piala Agong 2025 selepas menundukkan pasukan Kuala Lumpur pada bulan lalu.
“Kejohanan ini menjadi platform kepada pemain muda untuk menunjukkan bakat dan kemampuan mereka sebelum pergi lebih jauh lagi dalam kejohanan lebih besar.
“Sasaran sudah tentu memburu gelaran dan pasukan teruja untuk mengharungi baki saingan ini,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang menaja pasukan Selangor dalam saingan PERR 2025 ini.
Selangor berjaya melangkah ke separuh akhir dan akan menentang pasukan ATM pada Sabtu ini di Stadium Mindef, sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu pada aksi timbal balik di Stadium MPAJ, 8 November ini.
Dalam perkembangan sama, Zafrul memohon penyokong untuk datang beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan Selangor khususnya dalam perlawanan separuh akhir kedua nanti.
Bagi menarik kehadiran penyokong, satu program pertandingan sepakan penalti akan diadakan di Stadium MPAJ bermula 12 tengahari hingga 3 petang sebelum sepak mula aksi timbal balik Selangor dan ATM nanti.
Hadiah lumayan bakal menanti pemenang dengan objektif menarik lebih banyak penonton hadir saksikan pasukan Selangor beraksi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




