Selangor laksana 11 langkah drastik mitigasi banjir di 3 kawasan kritikal

Selangor laksana 11 langkah drastik mitigasi banjir di 3 kawasan kritikal

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) JPS akan mengambil langkah jangka masa panjang, jangka masa sederhana dan langkah segera bagi menangani masalah banjir di tiga kawasan kritikal iaitu Taman Sri Muda, Shah Alam; Meru, Klang dan Taman Seri Alam, Sungai Buloh.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim berkata, perkara itu dibentangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Khas bersama JPS dan pihak terbabit bagi membincangkan isu itu semalam.

Katanya, mesyuarat berkenaan turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan terlibat.

Izham berkata, antara langkah penyelesaian segera banjir di Meru adalah penyelenggaraan parit atau longkang tidak bertuan.

Menurutnya, ia turut meliputi pemasangan ‘flap gate’ di Sungai Binjai dan mengaktifkan operasi ‘booster pump’ di lokasi sama, selain melakukan pengalihan utiliti di dalam sungai.

“Bagi menyelesaikan isu banjir di Taman Sri Muda pula, sistem saliran dalaman akan dinaiktaraf ke tahap perlindungan lebih tinggi.

“Selain itu, ia membabitkan pembesaran kolam takungan, pengukuhan ban tanah di tebing Sungai Klang dan pembinaan ban sama di tebing Sungai Rasau.

“Kita memfokuskan penguatkuasaan pencerobohan tanah rizab tepi sungai dan pengalihan kabel utiliti atau paip yang menghalang longkang serta menaik taraf sistem automasi pintu kawalan air,” katanya dala

Katanya, JPS turut membentangkan status kemajuan kerja pembaikan Kolam Takungan Banjir Hillpark, Puncak Alam yang pecah lagi kali kedua sehingga mengakibatkan banjir di Taman Seri Alam semalam.

“Pihak Hillpark Resources, melalui perbincangan bersama JPS dan Persatuan Penduduk taman berkenaan, mencadangkan beberapa langkah segera bagi mengatasi masalah kolam takungan pecah ini.

“Langkah akan dilaksanakan serta-merta pada minggu ini dan saya akan turun ke Klang dan Taman Seri Alam dalam masa terdekat bagi memantau perkara yang dipersetujui itu,” katanya.

“Saya tekankan berkali-kali kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang membuat pelbagai langkah mitigasi banjir jangka panjang sebagai penyelesaian muktamad banjir.

“Namun, langkah segera yang boleh diselesaikan dalam masa beberapa hari mesti dilaksanakan sedaya upaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat koordinasi khas esok bagi menangani isu banjir kilat yang melanda daerah ini dan Klang termasuk Taman Sri Muda.

Langkah segera itu diambil susulan aduan penduduk yang kecewa dan bimbang dengan situasi banjir kilat berulang setiap kali hujan lebat melanda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top