Selangor mampu akhiri kemarau kejuaraan utama

Selangor mampu akhiri kemarau kejuaraan utama

SELANGOR FC diyakini berupaya menamatkan kemarau kejuaraan utama dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26, selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada tahun 2015.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, skuad The Red Giants ketika ini memiliki kekuatan dan potensi tersendiri untuk memecahkan badi sedekad tanpa trofi berprestij.

Mengimbas kenangan manis kejayaan musim 2015, Amirudin yang ketika itu menjawat jawatan pengurus pasukan menyifatkan kemenangan ke atas Kedah di pentas final sebagai detik bersejarah yang boleh dijadikan pemangkin semangat buat barisan pemain masa kini.

“Kali terakhir Selangor menang kejuaraan utama ialah pada 2015, tepat 10 tahun lalu. Saya masih ingat, ketika menjadi pengurus pasukan waktu itu, kami berjaya muncul juara Piala Malaysia.

“Tahun ini, kita akan berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya satu piala dalam saingan domestik.

“Saya yakin kejayaan itu bukan sesuatu yang mustahil, sebaliknya bergantung kepada kekuatan serta kemampuan sebenar pasukan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 pada Selasa.

Sebagai rekod, Selangor mengakhiri saingan Liga Super musim lalu di kedudukan kedua di belakang juara Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam kempen Piala FA pula, Red Giants turut menamatkan saingan selaku naib juara selepas tumpas kepada JDT dalam perlawanan akhir.

Cabaran juara 33 kali Piala Malaysia dalam saingan berprestij bola sepak negara berakhir di Pusingan 16 setelah disingkirkan Sri Pahang.

Bagaimanapun, Selangor berjaya meraih satu kejuaraan musim lalu apabila menewaskan PDRM FC dalam perlawanan akhir Piala Cabaran.

Dalam pada itu, Amirudin turut menyuarakan harapan agar anak buah

Katsuhito Kinoshi dapat memperbaiki pencapaian di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) selepas sekadar mengakhiri cabaran di peringkat kumpulan musim lalu.

“Sudah tentu kita mahu melihat peningkatan. Tahun ini Selangor kembali beraksi di Asia dan saya percaya dengan persiapan yang lebih rapi, pasukan mampu tampil lebih kompetitif,” katanya.

Cabaran Selangor dalam ACL 2 musim lalu berakhir di tangga ketiga kumpulan di belakang wakil Thailand, Muangthong United dan pendahulu kumpulan dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai.

Selangor musim ini juga akan bersaing dalam Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN setelah diundi bersama dua wakil dari Thailand, Buriram United dan BG Pathum United FC.

Selain itu, Gergasi Merah turut akan menentang Cong An Ha Noi FC (Vietnam), Tampines Rovers FC (Singapura), serta pemenang perlawanan play-off satu antara Kasuka FC (Brunei) dan Dynamic Herb Cebu FC (Filipina).

Scroll to Top