Selangor nekad lawan, heret FAM ke AIAC

Selangor nekad lawan, heret FAM ke AIAC

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) tampak tidak berdiam diri apabila ‘berani mencabar’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk diheret ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Ia selepas rayuan SFC ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FAM yang tetap dengan keputusan mengekalkan denda RM100,000 berserta dua hukuman beraksi tanpa penonton ekoran insiden kekecohan penyokong dalam aksi suku akhir Piala FA sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan SFC, tindakan mengheret FAM ke AIAC adalah selaras dengan peruntukan sedia ada pada Artikel 77 dan Artikel 129 Kod Tatatertib FAM (Kod FAM).

“Untuk makluman semua pemegang taruh selangor FC, pihak kelab telah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM yang mengandungi penjelasan serta bukti-bukti bagi menolak dakwaan insiden-insiden membabitkan penyokong Selangor FC di Stadium MBPJ semasa perlawanan Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC pada 29 Oktober 2025 tempoh hari.

“Namun pada 25 November 2025, rayuan tersebut telah ditolak dan keputusan hukuman denda RM100,000 terhadap Selangor FC berserta dua perlawanan Piala FA tanpa penonton di gelanggang sendiri dikekalkan.

“Hukuman ini membabitkan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA Selangor FC menentang Sabah FC pada 30 November 2025 dan perlawanan pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA musim hadapan.

“Oleh itu Selangor FC akan memfailkan rayuan kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur, selaras dengan Artikel 77 dan Artikel 129 Kod Tatatertib FAM (Kod FAM).

“Artikel 77 dalam Kod FAM hanya mengiktiraf AIAC sebagai Mahkamah Timbang Tara bebas yang sah dan bukan mahkamah timbang tara lain seperti Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” kata kenyataan itu.

SFC turut menegaskan kelab amat komited menangani isu itu.

“Selangor FC kekal komited dan mengambil pendekatan berprinsip dalam menangani perkara ini demi kebaikan kelab dan semua pemegang taruh bola sepak Selangor.”

Terdahulu, pada 15 November lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu memaklumkan Selangor didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5.

Begitupun pada 17 November, SFC menafikan sekeras-kerasnya pertuduhan berkenaan.

Kelab itu menegaskan bahawa semua dakwaan berkaitan salah laku penyokong dan orang kenamaan (VVIP) adalah tidak berasas, selain menzahirkan komitmen penuh terhadap keselamatan di stadium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top