SELANGOR melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala Agong buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi final di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada Ahad.
Kejayaan itu meneruskan dominasi skuad kendalian Ahmad Fairuz Mohd Yunus yang sebelum ini menjuarai kejohanan berkenaan pada edisi 2023, 2024 dan 2025.
Selangor tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Muhammad Aisar Fahmi meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-15 menerusi rembatan dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuala Lumpur.
Gol itu menyemarakkan semangat Selangor yang terus menguasai permainan, manakala Kuala Lumpur buntu untuk mengimbangi rentak lawan.
Bersambung babak kedua, Selangor menggandakan kelebihan pada minit ke-48 menerusi A Thiruchelvan yang menyudahkan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Kuala Lumpur cuba meningkatkan tekanan selepas itu dalam usaha merapatkan jurang, namun Selangor kekal berdisiplin mengawal permainan selain memastikan barisan pertahanan tidak mudah ditembusi.
Selangor hampir menambah jaringan pada pertengahan babak kedua menerusi Muhammad Aidil Hakim, tetapi percubaannya sedikit tersasar daripada sasaran.
Usaha Kuala Lumpur untuk mendapatkan gol akhirnya tidak berhasil apabila pertahanan Selangor terus ampuh sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan itu turut menjadi suntikan moral buat Selangor sebelum turun beraksi dalam Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 yang membuka tirai minggu depan.
Hadiah kemenangan disampaikan Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, yang diiringi Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed.
Selangor membawa pulang trofi, medal dan wang tunai RM7,000, manakala Kuala Lumpur selaku naib juara menerima medal serta RM3,000.
