PETALING JAYA: Hasrat Selangor merebut tiga berkecai selepas sekadar seri 1-1 menentang Sabah dalam aksi liga super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Gergasi Merah terus menghuni tangga kedua liga dengan 43 mata, namun kelebihan mereka kini semakin tipis apabila hanya dipisahkan satu mata dengan Kuala Lumpur City di tempat ketiga.
Lebih membimbangkan, Kuching City yang berada di tangga keempat dengan 40 mata masih memiliki kelebihan dua perlawanan, sekali gus berpotensi memintas Selangor jika berjaya mengutip mata maksimum.
Aksi di MBPJ bermula hambar apabila kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati mengatur gerak, namun suasana berubah pada minit ke-30 menerusi sentuhan berbisa Faisal Halim yang meletakkan tuan rumah di hadapan.
Kegembiraan Selangor bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Sabah bangkit menyamakan kedudukan hanya empat minit kemudian menerusi Fergus Tierney hasil serangan balas pantas yang memerangkap benteng tuan rumah.
Memasuki babak kedua, Selangor hampir kembali mendahului, namun jaringan Chrigor Moraes dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan kedudukan ofsaid.
Anak buah Kim Pan Gon terus menggandakan asakan, namun ketumpulan jentera serangan jelas menghantui mereka apabila beberapa peluang keemasan gagal diterjemahkan kepada gol.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-77, tetapi rembatan Nooa Laine dari dalam kotak penalti sekadar melambung tinggi, sekali gus memaksa Selangor berpuas hati berkongsi satu mata di laman sendiri.
Dengan saingan liga semakin menghampiri penghujung, Selangor kini tidak lagi mempunyai ruang untuk tercicir mata jika mahu terus kekal sebagai pencabar utama di kelompok teratas liga.-UTUSAN




