Selangor sudah sedia kekang asakan Terengganu

Selangor sudah sedia kekang asakan Terengganu

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertahanan Selangor FC, Ahmad Zikri Khalili dedahkan dirinya membuat ‘kerja rumah’ tambahan menjelang aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Jelas pertahanan muda berusia 22 tahun itu, jika dia menjadi pilihan pengendali pasukan Nidzam Jamil nanti, pemain pertahanan kanan itu mahu membalas kepercayaan diberikan dengan memberi aksi sebaik mungkin.

Katanya, dia turut membuat ‘ulangkaji’ khususnya cara untuk mengekang asakan pemain skuad Penyu itu nanti.

“Pasukan dah bersedia menentang pasukan Terengganu dan kita dah ikut apa yang jurulatih Nidzam mahukan dekat pasukan.

“Secara peribadi, saya sendiri dah ‘study’ sikit untuk (melihat kekuatan dan kelemahan) pasukan Terengganu ini.

“Seandainya saya diturunkan bermain, saya akan berikan yang terbaik dan mengikut arahan jurulatih Nidzam,” katanya.

Selangor kini menghuni tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan berpeluang mengukuhkan kedudukan itu sekiranya berjaya membawa pulang tiga mata ke Shah Alam.

“Macam sasaran saya sendiri, saya nak perbaiki kesilapan saya sebelum ini dan pertingkatkan permainan saya,” katanya yang mahukan kemenangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top