Selangor tamat kemarau kejuaraan

Selangor tamat kemarau kejuaraan

PETALING JAYA: Selangor FC menamatkan penantian selama sedekad untuk meraih kejuaraan selepas membelasah PDRM 4-0 dalam perlawanan akhir kedua Piala Cabaran sekali gus mencatat kemenangan agregat 7-0 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi.

Kejayaan ini merupakan trofi domestik pertama Gergasi Merah sejak kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015.

Bagaimanapun, Piala Cabaran masih dianggap kejohanan kelas kedua dan Selangor sedar mereka perlu bekerja lebih keras selepas tersingkir seawal pusingan 16 Piala Malaysia.

Nasib malang pasukan PDRM bermula sebelum sepak mula apabila Selangor diberikan kemenangan 3-0 dalam aksi pertama selepas pasukan lawan menurunkan pemain yang sepatutnya digantung.

Pada awalnya, Selangor menang tipis 3-2, namun keputusan itu diubah oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), memberikan mereka kelebihan selesa menjelang aksi kedua.

Aksi di MBPJ Stadium menyaksikan dominasi penuh Selangor apabila Ali Olwan membuka jaringan seawal minit keempat sebelum Yohandry Orozco menggandakan kedudukan pada minit ke-10.

Malang bertimpa buat PDRM apabila Eizrul Ashraf Nor Effendy dilayangkan kad merah pada minit ke-21, sebelum Ronnie Fernandez menambah gol ketiga buat Selangor pada minit ke-31.

Orozco kemudian melengkapkan malam gemilang Selangor dengan gol keduanya pada minit ke-80, mengesahkan kemenangan mutlak Gergasi Merah. – UTUSAN

Scroll to Top