am@hmetro.com.my
Shah Alam: Selangor terus menekankan kepentingan dalam sektor pendidikan bermula pendidikan awal sehingga ke alam kampus dalam usaha membentuk jati diri dengan nilai kehidupan dan nilai kemanusiaan
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sektor pendidikan memainkan peranan penting bagi membolehkan golongan muda mendepani cabaran sosial yang kini di luar batas kemanusiaan seperti kejadian bunuh ahli keluarga sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, dunia pendidikan amat penting untuk meletakkan keseimbangan di antara keinginan diri sendiri dan meneruskan keterhubungan kita dengan dunia luar.
“Kalau tidak, kita akan menjadi tempang… masyarakat masa depan kita akan mendepan cabaran yang besar yang kadang-kadang di luar daripada batas logika, akal dan fikiran.
“Seperti tidak wujud dan tidak mungkin berlaku tetapi itulah realiti dunia yang berdepan dengan cabaran yang mana beberapa hari lalu satu keluarga meninggal dunia bermula daripada seorang anak membunuh ibunya, membunuh keluarganya dan akhirnya mengakhiri hayatnya sendiri… ada cucu membunuh nenek dan datuk.
“Ia mengingatkan dan menyedarkan kita bahawa fungsi pendidikan sangat penting di saat orang boleh mendapat informasi (era digital) kerana informasi yang banyak belum tentu membijakkan kita.
“Sebab itu perlunya anak dididik, pelajar universiti terus dipandu daripada segi kemanusiaan dan nilai kehidupan demi melaksanakan kehidupan yang aman dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar Selangor bersama Guru dan Komuniti Pendidik Negeri Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, petang tadi.
Dalam pada itu katanya, Selangor tegas dalam menjadikan pendidikan sebagai kunci untuk terus kekal berjaya memandangkan sumber manusia adalah tonggak utama negeri.
“Kita tiada emas atau sumber bumi untuk digali tetapi kita ada sumber manusia. Jika tiada ilmu pendidikan, kita berdepan cabaran yang sangat besar untuk mengekalkan kecemerlangan
“Selepas ini kita akan teliti segenap aspek, dari sekecil baucar buku sehingga 50 peratus pendidikan percuma di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS). Kita angkat pendidikan bersama-sama,” katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan pertukaran dokumen nota persefahaman antara Yayasan Selangor dengan TYMBA Education, DHS Hospitality Academy, ATC College, Taleem (M) Sdn Bhd dan TPIS Almotahida dengan visi memastikan pendidikan (kurikulum dan latihan) sedia ada sejajar dengan keperluan pasaran kerja serta perkembangan teknologi semasa.
Katanya, usahawan yang dijalinkan berpotensi membuka lebih banyak peluang pendedahan termasuk aspek pendedahan bidang industri kepada pelajar, memperluas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bimbingan kerjaya.
“Kita percaya bahawa pendidikan bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh ekosistem masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




